Sektor agromakanan rosak akibat banjir lebih RM117 juta – Mohamad

Oleh: Sholina Osman
13 DIS. 2024

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerosakan sektor agromakan akibat banjir dianggarkan bernilai lebih RM177 juta.

Beliau berkata, ini kerana kawasan yang terjejas akibat banjir dianggarkan lebih 28,000 hektar.

“Sehingga kini ia melibatkan 15,456 orang kumpulan sasar,” katanya dalam kenyataan media.

Sebelum itu Mohamad menyempurnakan majlis Flag-Off Skuad Ihsan MADANI Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Lobi Wisma Tani KPKM.

MENYEDIAKAN MEKANISME BANTUAN

Mohamad berkata, KPKM juga telah menyediakan mekanisme bantuan, iaitu Tabung Bencana Tanaman Padi bagi pesawah padi dan Tabung Bencana Pertanian bagi pengusaha tanaman selain padi.

Selain itu, katanya KPKM juga telah memperkenalkan Skim Takaful Tanaman Padi yang mula dilaksanakan pada 13 September 2024.

“Skim takaful ini melindungi tanaman padi daripada pelbagai risiko termasuklah bencana banjir,” katanya.

Beliau berkata, Tabung Bencana Tanaman Padi, bantuan ini diberikan secara tunai khusus kepada pesawah yang mengalami kerugian akibat bencana alam.

MELIBATKAN BEBERAPA PERINGKAT

“Mekanisme ini melibatkan beberapa peringkat penilaian meliputi penyediaan Laporan dan Penilaian Kerugian oleh agensi di lapangan bagi mengenal pasti tahap kerosakan yang dihadapi oleh pesawah,” katanya.

Seterusnya, Mohamad berkata, laporan lengkap akan dibentangkan dan dinilai oleh Jawatankuasa Teknikal Peringkat Negeri dan Jawatankuasa Induk Peringkat KPKM.

Tambahnya, Tabung Bencana Pertanian, bagi permohonan bencana banjir, siasatan dan bancian dilapangan akan bermula dalam tempoh 14 hari selepas banjir selesai untuk tujuan menilai tahap kerosakan terhadap tanaman.

Jelasnya, proses bancian dan siasatan yang dijalankan oleh jabatan dan agensi bagi sesuatu kawasan yang terjejas adalah dalam tempoh 30 hari.

“Skop bantuan di bawah tabung ini adalah projek-projek agromakanan meliputi tanaman, komoditi bernilai tinggi, ternakan veterinar, ternakan akuakultur, hasil-hasil perikanan, industri makanan dan asas tani dan juga projek yang bukan berbentuk agromakanan sepenuhnya iaitu agropelancongan,” katanya.

Beliau menambah, bantuan di bawah tabung ini berbentuk bantuan bukan kewangan (50 peratus daripada nilai anggaran jumlah kerugian keseluruhan). – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *