MAIPs dengan kerjasama UIAM terima Anugerah RCE

Oleh: Sholina Osman
13 DIS. 2024

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melalui RCE Greater Gombak telah berjaya menerima Anugerah “Acknowledged Flagship Project” daripada RCE Awards 2024.

Sijil pengiktirafan ini telah diterima pada 1 Disember 2024 dan sesi simbolik serahan sijil tersebut telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Kangar semalam.

Anugerah berprestij ini dianjurkan oleh The Regional Centres of Expertise atau Pusat Perkhidmatan Global RCE di bawah naungan Universiti Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU), sekaligus mengiktiraf kejayaan Projek “Empower Perlis: Sustainable Growth for Asnaf Families”.

SATU PENGHORMATAN TERTINGGI

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, Anugerah RCE ini adalah satu penghormatan tertinggi kepada projek-projek yang cemerlang dalam Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD) yang memberi impak besar kepada komuniti.

“Projek “Empower Perlis: Sustainable Growth for Asnaf Families” diiktiraf sebagai “Acknowledged Flagship Project” kerana keberkesanannya dalam menangani cabaran pembangunan lestari di peringkat tempatan,” kata beliau.

Projek ini telah mempamerkan pendekatan holistik yang menyatukan aspek pendidikan, sosioekonomi, dan pembangunan komuniti, khususnya untuk golongan asnaf di Perlis.

Salah satu inisiatif utama di bawah projek ini ialah transformasi komuniti di Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis.

TUMPUAN KEPADA PEMBANGUNAN

Dengan kerjasama erat antara MAIPs dan UIAM, transformasi ini memberi tumpuan kepada pembangunan sosioekonomi dan pendidikan yang mampan bagi meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.

Inisiatif ini bukan sahaja memperkasakan komuniti tetapi turut memacu pendidikan transformatif melalui pendekatan kolaboratif yang inovatif.

Pengiktirafan ini merupakan tanda kejayaan antarabangsa terhadap usaha gigih MAIPs dan UIAM dalam memperkasakan golongan asnaf.

Kejayaan ini juga sekali gus menjadikan Perlis sebagai model pembangunan lestari yang boleh dicontoh oleh komuniti lain. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *