Oleh: Sholina Osman
13 DIS. 2024
Peringatan kepada rakyat Malaysia yang bercuti di Thailand, jangan leka sampai sanggup “shopping” ganja atau produk hasilannya untuk dibawa pulang sekalipun di sana ia dijual secara terbuka.
Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, jika ia dibawa masuk ke Malaysia maka sudah pasti telah melakukan kesalahan jenayah.
Beliau berkata, kes ini telah berlaku ke atas sebuah keluarga dari Johor Bahru yang balik bercuti di Hatyai, Thailand selama empat hari tiga malam di mana terpaksa menempuh pengalaman pahit apabila salah seorang ahli rombongan dipercayai cuba menyeludup ganja.
Katanya, pada pukul lebih kurang 3.30 petang, 2 Disember 2024, sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan Padang Besar telah melakukan pemeriksaan rapi ke atas sebuah van penumpang jenis Toyota Commuter bernombor pendaftaran Thailand di Lorong Import, Unit Khas Pemeriksaan Penumpang di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar.
BERSAMA LAPAN PENUMPANG
“Van berkenaan dipandu oleh seorang lelaki Thailand berusia 23 tahun bersama lapan penumpang warga Malaysia iaitu lima lelaki dan tiga wanita yang berusia dari 21 hingga 71 tahun,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Negeri di Jalan Stadium, Kangar.
Ismail berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemukan dua botol mengandungi ketulan tumbuhan disyaki dadah jenis kanabis yang telah disorokkan di dalam sebuah beg plastik berzip warna biru bersama bungkusan makanan dan minuman.
Beliau berkata, beg itu diletakkan di atas tempat duduk penumpang di barisan paling belakang.
Jelasnya, ketulan tumbuhan disyaki dadah jenis ganja itu dianggar seberat 10 gram dan bernilai RM200.
Ismail berkata, hasil siasatan awal mendapati beg itu adalah kepunyaan lelaki berusia 30 tahun iaitu kenalan kepada anak lelaki keluarga berkenaan yang bercuti bersama mereka.
LELAKI BERKENAAN MEMBELI
Katanya, dipercayai lelaki berkenaan membeli ganja yang sedia diketahui amat mudah diperoleh di kedai sekitar Hatyai.
Berikutan itu, Ismail berkata,
warga emas berusia 67 dan 71 tahun yang merupakan datuk dan nenek keluarga berkenaan dibebas dengan jaminan Kastam RM500 setiap seorang.
Beliau menambah, ibu, bapa dan tiga anak dalam keluarga ini dibebas dengan jaminan Kastam sebanyak RM300 setiap seorang, manakala pemandu van Thailand juga dibebas dengan wang jaminan RM1,000.
Ismail berkata, suspek pula telah direman selama dua hari dan diberi jaminan oleh mahkamah sebanyak RM3,000.
Tambahnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. – JM