Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita)
13 Disember 2024
Apa lagi yang Tun Dr Mahathir Mohamad mahu bebelkan berkaitan isu Batu Puteh? Eloklah berhenti menunding jari membabitkan pemimpin ‘itu ini’ demi menyelamatkan diri.
Ini kerana tiga anggota kabinet yang kaitkan iaitu Datok Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Datok Seri Mohamad Sabu dan Anthony Loke dalam kenyataan bersama telah menyatakan bahawa keputusan untuk tidak meneruskan usaha semakan dan tafsiran yang diputuskan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dibuat sendiri oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sebelum mesyuarat Kabinet yang pertama diadakan pada 2018 .
Dalam kenyataan mereka bertiga, keputusan itu dibuat Dr. Mahathir sendiri pada 21 Mei 2018 secara bertulis kepada Peguam Cara Negara, tanpa merujuk kepada Jemaah Menteri dan dimaklumkan kepada pihak Singapura pada pagi 23 Mei 2018.
Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan keputusan kerajaan menarik balik rayuan dalam isu Pulau Batu Puteh adalah keputusan kabinet kini telah disanggah dengan sejelas-jelas oleh tiga pemimpin PH yang nama mereka disebut oleh bekas Perdana Menteri itu.
Ketiga-tiga pemimpin PH yang berkhidmat di bawah Tun Mahathir itu ialah Dr Wan Azizah Wan Ismail (Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga), Mohamad Sabu (Menteri Pertahanan dan Anthony Loke (Menteri Pengangkutan).
TUN M BERTINDAK SECARA SENDIRIAN
Dalam kenyataan media bersama, ketiga-tiga pemimpin berkenaan sebaliknya mengatakan ia adalah Tun Mahathir secara sendirian.
Kata mereka, Tun Mahathir hanya memaklumkan kepada kabinet perkara berkenaan selepas keputusan dibuatnya.
“Keputusan untuk tidak meneruskan kajian dan tafsiran berhubung pertikaian itu dibuat sendiri oleh Tun Mahathir pada 21 Mei 2018.
“Beliau memaklumkan secara bertulis keputusan berkenaan kepada Peguam Cara Negara tanpa merujuk kepada kabinet, manakala pemakluman kepada Singapura dibuat pada pagi 23 Mei iaitu sebelum mesyuarat kabinet pertama diadakan.
“Selang dua hari kemudian, setelah keputusan dibuat, barulah Tun Dr Mahathir memaklumkan jemaah menteri dalam mesyuarat kabinet,” kata ketiga-tiga mereka.
Itu pun, tegas mereka, pemakluman Tun Mahathir dibuat di bawah agena “Hal-hal lain” dalam mesyuarat kabinet berkenaan dan ia bukan dalam bentuk perbincangan untuk menentukan keputusan.
“Oleh yang demikian, tidak wujud isu jika ada sesiapa membantah atau menyokong keputusan Tun Mahathir kerana ruang untuk membuat bantahan telah pun hilang apabila ia telah dibuat secara bertulis oleh Tun Dr Mahathir,” kata mereka lagi.
Dengan penjelasan ketiga-tiga mereka ini, rasanya tidak sukar untuk kita menilai siapa bercakap benar dan siapa bercakap untuk melepaskan diri.
Eloklah Tun Dr. M bermuhasabah diri dan berdamailah dengan takdir.
Berhentilah mengaitkan ‘orang itu orang ini’ kerana sikap demikian menujukkan jiwa beliau yang semakin kacau bilau.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat