Fahmi serah bantuan Tabung Kasih@HAWANA kepada bekas jurufoto RTM

Oleh: Sholina Osman
12 DIS. 2024

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyerahkan bantuan Tabung Kasih@HAWANA kepada bekas jurufoto Radio Televisyen Malaysia (RTM), Asmara Mat Hassan di Kampung Sungai Rengas, Kuala Terengganu.

Kenyataan media Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA) memaklumkan bahawa Asmara kini menghadapi masalah kesihatan yang serius.

Fahmi menyerahkan sumbangan itu bagi meringankan beban yang ditanggung Asmara di kediamannya sebagai antara usaha berterusan untuk menyokong kebajikan komuniti media.

KINI MENJALANI RAWATAN

Asmara, 62, yang berkhidmat selama 36 tahun di RTM sejak 1981 hingga 2017, kini menjalani rawatan dialisis dan fisioterapi selepas diserang strok pada September lepas.

Beliau juga menghidap penyakit buah pinggang sejak Mei 2020.

Selain sumbangan wang tunai, Asmara turut menerima sumbangan barangan daripada AEON BiG.

Sumbangan Tabung Kasih@HAWANA turut disalurkan kepada 30 pengamal media yang terjejas akibat bencana banjir di Kelantan dan Terengganu baru-baru ini.

TELAH MENERIMA MANFAAT

Seramai 234 individu telah menerima manfaat daripada Tabung Kasih@HAWANA sejak inisiatif ini diperkenalkan pada April tahun lepas.

Tabung Kasih@HAWANA merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi melalui BERNAMA bagi menyantuni wartawan dan pengamal media, sama ada yang masih dalam perkhidmatan mahupun telah bersara, uzur atau memerlukan bantuan.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang BERNAMA, Arul Rajoo Durar Raj. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *