Oleh: Sholina Osman
Gambar: Ihsan FB LPNM
11 DIS. 2024
Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) berharap projek tanaman nanas MD2 di bawah Program Pembangunan Peneroka (PPP) FELDA dijadikan sebagai model untuk digarap dengan lebih meluas oleh para pemain industri nanas di negara ini.
Pengerusinya, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, ini kerana ia boleh memberi limpahan rezeki buat rakyat serta pekebun kecil yang telah dilibatkan.
Beliau berkata, pada keseluruhannya, projek tanaman nanas MD2 bawah PPP FELDA ini adalah sangat baik kerana ia dapat memberi pendedahan, hasil tambahan serta faedah sampingan kepada para pesertanya dari kalangan anggota koperasi.
MENIKMATI DIVIDEN TAHUNAN
“Antaranya, mereka dapat menikmati dividen tahunan sekitar RM1000 bagi setiap ketua keluarga menerusi program ini,” katanya dalam kenyataan media.
Pada minggu lalu, Sheikh Umar Bagharib telah melakukan lawatan kerja ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lanchang di Pahang.
Beliau berkata, lawatan tempoh hari tertumpu khusus pada projek tanaman nanas MD2 di bawah PPP FELDA.
“Ia telah melibatkan tiga pertubuhan koperasi peneroka FELDA iaitu Felda Damar, Felda Lakum dan Felda Lembah Klau,” katanya.
PERNIAGAAN YANG DIGUNAPAKAI
Beliau berkata, model perniagaan yang digunapakai melibatkan tiga pihak.
“FELDA sebagai pemilik dana dan tanah, syarikat Aqina Fruits Sdn Bhd sebagai operator manakala badan Koperasi sebagai peserta,” katanya.
Pada masa yang sama, katanya, Agrobank turut terlibat sebagai pengurus dana dan pemberi pinjaman “operational expenses”.
Sheikh Umar Bagharib berkata, projek ini bermula pada 4 Julai 2023 dan sudah mula mengeluarkan hasil tuaian pertama pada Julai 2024.
KELUASAN BERTANAM TERKINI
Katanya, keluasan bertanam terkini adalah 190.5 ekar manakala keluasan berhasil ialah sebanyak 32 ekar.
Jelasnya, pengeluaran hasil akan berterusan mengikut penjadualan berperingkat bagi memenuhi permintaan.
“Dari segi angka, sebanyak 319,193 biji nanas MD2 telah direkodkan sehingga kini,” katanya.
Apa yang menarik tambah beliau, Aqina Fruits Sdn Bhd juga sebenarnya sedang menjalankan R&D untuk mencari kalibrasi bagi mendapatkan kualiti MD2 terbaik dalam tempoh penuaian hasil yang lebih singkat.
TEMPOH TUAIAN BIASA
Katanya, tempoh tuaian biasa varieti MD2 memakan masa minimum 14 bulan.
Beliau berkata, sekaligus projek tanaman nanas akan mampu memberikan impak mobiliti sosial kepada masyarakat menerusi peningkatan pendapatan.
Sheikh Umar Bagharib berkata, ia sejajar dengan semangat Malaysia Madani yang berhasrat meningkatkan peluang ekonomi dan taraf hidup masyarakat luar bandar. – JM