Oleh: Sholina Osman
Gambar: Ihsan FB Jabatan Penjara Malaysia
11 DIS. 2024
Prospek pertama Jabatan Penjara Malaysia bergelar Doktor Falsafah telah dibebaskan pada 11 Disember 2024 setelah diberikan pengampunan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena ulang tahun Hari Keputeraan Baginda ke-79.
Dalam kenyataan di Facebook (FB) milik Jabatan Penjara Malaysia, Murad (Bukan Nama Sebenar) telah menjalani hukuman pada tahun 2001 semasa berusia 14 tahun ini menjalani hukuman sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS) di Rawatan Pemulihan Dadah Penjara Kajang.
Untuk makluman, Murad yang bergelar Doktor Falsafah dalam Pentadbiran Perniagaan ini telah menyambung pelajaran semasa menjalani hukuman pemenjaraan.
Semasa berlangsungnya proses pembebasan Murad, suasana gembira dan hiba jelas terpancar di wajahnya setelah dibacakan waran pembebasan oleh Pengarah Penjara Kajang, YDH TKP Preshahdin Monshee.
SENTIASA MENGAMALKAN DISIPLIN
Preshahdin pada sesi pembebasan ini menasihatkan Murad sentiasa mengamalkan disiplin yang tinggi serta menggunakan ilmu yang ada bagi memajukan diri selepas dibebaskan.
Tambah Preshahdin, pihak Jabatan sedia membantu sekiranya Murad memerlukan bantuan.
Pada sesi tersebut juga, Murad menzahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah di atas pengampunannya serta tidak dilupakan terutamanya Jabatan Penjara Malaysia kerana memberikan peluang dan ruang kepadanya untuk menyambung pengajian sehinggalah bergelar Doktor Falsafah.
Tambah Murad, segala jasa baik dari pihak Jabatan akan sentiasa dikenang dan percaya dengan peranan jabatan dalam memulihkan prospek sepertinya agar dikembalikan dengan lebih sempurna. – JM