Kutipan cukai tanah di Perlis secara “cashless” lebih 86% lepasi sasaran

Oleh: Sholina Osman
Gambar: Ihsan FB PPTGPs

11 DIS. 2024

Kadar kutipan cukai tanah dan perkhidmatan secara tanpa tunai “cashless” telah melebihi 86 peratus melalui 77,614 transaksi bernilai RM34.65 juta bagi tahun 2024.

Kenyataan media Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perlis (PPTGPs) memaklumkan ia melepasi sasaran awal 80 peratus yang telah ditetapkan Kerajaan Negeri selaras Pelan Digital Perlis 2021-2025.

Sasaran awal 80 peratus transaksi tanpa tunai tersebut telah mengambilkira keupayaan segmen pemilik tanah dikalangan warga emas dan masyarakat luar bandar untuk membiasakan diri dalam menjalankan transaksi dalam talian dan tanpa tunai.

MULA CELIK IT

“Pencapaian semasa tersebut telah menunjukkan bahawa rakyat Negeri Perlis khususnya warga emas telah mula celik IT malahan cekap dengan penggunaan peranti pintar dan yakin dengan kaedah pembayaran tanpa tunai serta seterusnya membantu pencapaian sasaran transaksi tanpa tunai lebih tinggi dari jangkaan,” kata kenyataan itu lagi.

Sementara itu Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli telah melancarkan van kaunter bergerak tajaan Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) di pekarangan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di Persiaran Wawasan Kangar.

Kenyatan media juga menyebut tajaan yang bernilai RM200,000.00 ini merupakan satu inisiatif syarikat berkenaan bagi membantu Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kutipan hasil cukai tanah semasa dan tertunggak di Negeri Perlis secara tanpa tunai.

JUGA DILENGKAPI RUANG

Van kaunter bergerak PayNet-PPTGPs model V80 Maxus ini direka khas bukan sahaja bagi kutipan cukai tanah malah ia juga dilengkapi ruang bagi sesi konsultasi kepada pelanggan yang ingin mendapatkan nasihat dan pandangan berkaitan dengan tanah.

Dengan pelaksanaan saluran baharu ini, capaian perkhidmatan Kerajaan Negeri bagi bayaran cukai tanah dapat diperluaskan ke lokasi sasar di pendalaman dan tinggi jumlah tunggakan serta ia memudahkan rakyat untuk menjalankan kewajipan sebagai pemilik tanah untuk membayar cukai tanah.

Kerajaan Negeri mensasarkan kutipan hasil urus niaga dan hasil cukai tanah lebih RM39 juta bagi tahun 2025 serta mengurangkan tunggakan cukai tanah semasa.- JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *