Oleh: Sholina Osman
11 DIS. 2024
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima sumbangan zakat korporat daripada Lembaga Tabung Haji (TH) berjumlah RM550,000 sempena Program Iqra’ TH 2024 di Auditorium Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, Arau.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang merangkap Canselor UniMAP berkenan berangkat menyaksikan penyampaian sumbangan zakat tersebut.
Turut hadir ialah Pengarah TH Wilayah Utara, Datuk Mohammad Mokhzani Mukhtar mewakili Ketua Pegawai Eksekutif TH, Pengarah TH negeri, Burhan Abd Rahman dan pengurusan tertinggi Unimap.
MENJADI TANGGUNGJAWAB UniMAP
Sumbangan itu merupakan amanah yang menjadi tanggungjawab UniMAP untuk diagihkan kepada pelajar yang memerlukan di universiti berkenaan.
Sumbangan zakat berkenaan akan memberi manfaat kepada 1,100 pelajar universiti tersebut di mana bakal menerima RM500 setiap seorang.
Sementara itu Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr Zaliman Sauli dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak lembaga pengurusan TH atas sumbangan zakat yang begitu bermakna.
MERINGANKAN BEBAN KEWANGAN
“Sumbangan tersebut bukan sahaja meringankan beban kewangan pelajar-pelajar kami, tetapi juga menjadi suntikan semangat kepada mereka untuk terus gigih menimba ilmu dan menggapai kejayaan,” katanya.
Beliau berkata, sumbangan zakat ini bukan sekadar sebuah bantuan kewangan, tetapi merupakan manifestasi nilai murni Islam yang mementingkan kebajikan dan kesejahteraan umat.
Zaliman berkata, ia juga menjadi contoh terbaik bagaimana institusi seperti TH yang dapat memainkan peranan signifikan dalam membangunkan modal insan yang berkualiti melalui pendidikan seperti yang dihasratkan Perdana Menteri melalui kerangka Ekonomi Madani.
Sebagai rekod, pada tahun 2022, Unimap telah menerima sumbangan zakat sebanyak RM600,000.00 daripada TH manakala pada 2023 pula menyaksikan sumbangan sebanyak RM350,000.00. – JM