MCMC perkenal INSG tingkat keselamatan maklumat

Oleh: Sholina Osman
10 DIS. 2024

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) secara rasmi menerbitkan Garis Panduan Keselamatan Maklumat dan Rangkaian untuk Industri Komunikasi dan Multimedia (Guidelines on Information and Network Security for the Communications and Multimedia Industry) (INSG).

Kenyataan media MCMC menyebut ia dirangka untuk meningkatkan keselamatan maklumat dan rangkaian serta daya tahan industri komunikasi dan multimedia di Malaysia.

INSG berfungsi sebagai satu kerangka amalan terbaik dan tidak mandatori buat masa ini.

PAKAI AMALAN TERBAIK

Namun demikian, kata kenyataan media itu lagi, MCMC menggalakkan pihak industri mengguna pakai amalan terbaik ini di dalam pengoperasian mereka sebagai sebahagian daripada langkah-langkah proaktif mereka dalam memperkukuh keselamatan siber bagi industri komunikasi dan multimedia.

Pendekatan ini memberi ruang kepada Penyedia Perkhidmatan untuk menyesuaikan diri dengan garis panduan tersebut serta memberikan maklum balas penambahbaikan.

INSG bukan bertujuan untuk menambah peraturan baharu, tetapi sebaliknya bertujuan meningkatkan keupayaan dan ketersediaan Penyedia Perkhidmatan dalam mengurus risiko siber, mengurangkan kebocoran data, meminimumkan gangguan melalui pengukuhan infrastruktur rangkaian, serta melindungi pengguna-pengguna daripada ancaman dalam talian.

MELIBATKAN PELBAGAI PIHAK

Semasa fasa pembangunan INSG, MCMC telah secara aktif melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk firma keselamatan siber, perunding keselamatan, pemegang lesen (termasuk penyedia pusat data dan penyedia perkhidmatan awan), kementerian, agensi kerajaan, badan kawal selia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, dan forum di bawah MCMC.

Maklum balas, cadangan, dan pandangan yang diberikan telah dinilai dengan teliti dan yang mana bersesuaian, telah diserap ke dalam INSG. Pendekatan inklusif dan telus ini mencerminkan komitmen MCMC untuk memastikan garis panduan ini memenuhi keperluan semua pihak berkepentingan di samping memastikan amalan terbaik dalam pengurusan keselamatan siber dipatuhi.

MCMC berpandangan bahawa INSG merupakan satu langkah penting dalam melindungi ekosistem digital Malaysia, memastikan infrastruktur rangkaian yang selamat dan berdaya tahan untuk semua.

Ia mencerminkan usaha berterusan MCMC untuk menangani cabaran dalam landskap siber yang semakin kompleks sambil memupuk kepercayaan dan keselamatan dalam persekitaran digital negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *