Oleh: Sholina Osman
10 DIS. 2024
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengumumkan bantuan kewangan berjumlah RM1,000 kepada 20 pemilik kenderaan yang ditenggelam air akibat banjir kilat di Presint 11, Putrajaya.
Beliau berkata, pihak Perbadanan Putrajaya juga akan membuat parkir interim yang akan memuatkan kira-kira 200 kenderaan sebagai tindakan jangka pendek.
“Saya minta Perbadanan Putrajaya untuk selesaikan perkara ini dalam tempoh dua minggu,” katanya dalam kenyataan di Facebook (FB) milik beliau.
SELESAI URUSAN RASMI
Zaliha berkata, ketika beliau hendak bertolak ke Lapangan Terbang Labuan setelah selesai urusan rasmi tiga hari di wilayah berkenaan telah dimaklumkan oleh pegawainya berkenaan banjir kilat dengan kedalaman kira-kira 1 meter yang berlaku di Presint 11.
“Ini adalah kali pertama banjir kilat berlaku di kawasan tersebut,” katanya.
Zaliha berkata, banjir kilat tersebut berlaku disebabkan taburan hujan yang tinggi, iaitu tiga kali ganda dari taburan hujan yang biasa.
DIMAKLUMKAN BAHAWA AIR
Sejurus 15 minit selepas itu, katanya, beliau dimaklumkan bahawa air telah pun mula surut.
“Kawasan perumahan di sini agak besar di mana ada kira-kira 2,500 buah rumah, dengan anggaran penduduk sekitar 10,000 orang,” katanya.
Berikutan itu katanya, sebaik selesai sahaja urusan di Parlimen dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), beliau terus ke Presint 11 untuk melihat sendiri kawasan yang tersebut.
DENGAN PENGGUNAAN SIREN
Selain itu, Zaliha juga meminta Perbadanan Putrajaya untuk menyediakan “alert system” dengan penggunaan siren dan amaran kepada penduduk di kawasan ini untuk alihkan kenderaan dengan segera.
“Ini boleh dilaksanakan dengan menggunakan Internet of Things (IoT) di mana sensor akan dipasang di petak-petak penyelenggaraan saliran di seluruh Putrajaya untuk mengesan tahap ketinggian air,” katanya.
Zaliha berkata, aliran air di kawasan perumahan ini menggunakan “culvert system”.
Walaupun besar keluasannya, katanya, tetapi dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, berlaku pula hujan lebat secara tiba-tiba telah menyebabkan ia tidak dapat menampung kapasiti air yang terlalu banyak. – JM