Oleh: Sholina Osman
9 DIS 2024
Perlis tersenarai di antara negeri yang terkesan akibat banjir besar yang telah melanda negeri-negeri di Pantai Timur baru-baru ini.
Bagaimanapun kali ini boleh dikatakan hanya sebagai “tempias” kerana banjir yang berlaku akibat hujan lebat bermula 26 November 2024 tidaklah seteruk di Pantai Timur mahupun Kedah.
Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis pada akhir November 2024 hanya 489 mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berbanding banjir pada bulan Oktober sebanyak 681 mangsa dipindahkan ke lima PPS.
MEMBABITKAN SEBAHAGIAN BESARNYA
Banjir kali ini juga masih membabitkan sebahagian besarnya di Parlimen Arau , Parlimen Padang Besar dan sedikit di Parlimen Kangar.
Hanya empat PPS dibuka mulai 28 hingga 29 November 2024 iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Nangka, SK Titi Tinggi dan SK Arau dan Dewan Warisan, Kangar
Ia melibatkan penduduk Kampung Rambai, Kampung Banggol Sena, Kampung Gial, Kampung Bukit dan Kampung Kuala Tunggang di Titi Tinggi, Padang Besar.
PULA MELIBATKAN PENDUDUK
Manakala di Arau pula melibatkan penduduk Kampung Titi Tinggi Hilir, Kampung Guar Tinggi dan Kampung Padang Telela.
Kesemua PPS ini ditutup sepenuhnya pada 30 November 2024.
Bagaimanapun pada banjir kali ini telah menyebabkan lapan sekolah terpaksa ditutup.
DIBENARKAN PULANG AWAL
Jabatan Pendidikan Perlis telah memaklumkan pada 28 November 2024, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Sheikh Ahmad, SMK Syed Hussein, SK Arau, SK Tengku Budriah, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hwa Aik, Al Maad, SK Titi Tinggi dan SK Guar Nangka dibenarkan pulang awal dan semua murid belajar secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada 29 November 2024.
Apapun tidak dinafikan dengan siapnya Projek Lencongan Banjir Barat (LBB) Timah Tasoh dari Tebing Tinggi ke Kampung Wai, Kuala Perlis pada 2018 telah membantu negeri ini dari masalah banjir khususnya kawasan Parlimen Kangar.
Rata-rata penduduk Perlis melahirkan rasa syukur kerana projek ini dikatakan telah berjaya mengelak banjir besar yang melanda Perlis pada tahun 2005 dan 2010. – JM