Oleh: Sholina Osman
9 DIS. 2024
Kelab Bola Sepak Guar Syed Alwi (GSA FC) dari Perlis yang menjuarai Liga Amatur A2 Malaysia 2024-25 atau dikenali Piala Al-Ikhsan 2024-25 telah diraikan sempena perasmian ‘The Bola Story of Perlis’ Outdoor Sports Cafe yang baharu beroperasi di Jalan Kangar Jaya 7, Off Jalan Tuanku Syed Putra, Kangar Jaya.
Dengan kejayaan ini membolehkan GSA FC Perlis membawa pulang trofi kejuaraan bersama wang tunai bernilai RM50,000 dalam pertandingan yang merupakan edisi pertama Liga A2 di bawah penjenamaan baharu.
Liga ini merupakan liga divisyen 3 di dalam piramid Liga Bolasepak Malaysia.
TOKOH BOLA SEPAK
Majlis tersebut dianjurkan oleh MYUS F&B (Perlis) Sdn. Bhd. juga menganugerahkan plaka kecemerlangan kepada dua tokoh bola sepak tanah air iaitu Datuk Zainal Abidin Hassan dan Allahyarham Kapten (B) Abdul Halim Abdul Hamid iaitu bekas pengadil bola sepak Malaysia bertaraf dunia berasal dari Perlis yang diterima oleh balu, Wan Manirah Wan Mustaffa.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan pembukaan cafe sukan tersebut serta melancarkan arca ‘The Bola Story of Perlis’.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MYUS Group of Companies., Datuk Nellsen Young.
SATU-SATUNYA KAFE
Beliau berkata, ini adalah satu-satunya kafe bertema sukan di Perlis sekaligus membuktikan sukan telah sekian lama menyatupadukan masyarakat dan harus dipelihara serta dikekalkan sebagai antara wadah keharmonian negara.
Baginda berdua seterusnya berkenan menyaksikan melalui ‘Big Screen’ di kafe berkenaan bersama tetamu perlawanan bola sepak di antara Malaysia melawan Kemboja bagi AFF Kejohanan Piala Asean Mitsubishi Electric 2024 di Phnom Penh yang berakhir dengan keputusan 2-2.
Terdahulu daripada itu, Raja Muda berangkat mengetuai kayuhan MAIPs Peduli dan singgah menyantuni serta menyampaikan sumbangan MAIPs kepada Sarina Jamaludin 57, dari Kampung Bukit Kechil Utan Aji, Haton Ismail, 71 di Kampung Tanjung Buloh dan Romlah Taib, 91 di Kampung Tok Kersek. – JM