Oleh: Sholina Osman
5 DIS. 2024
Garis Panduan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) dilancar sebagai kesinambungan usaha Kerajaan dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bagi memperkasakan pekerja dan juga membantu majikan mengoptimumkan sumber manusia dan kos pengoperasian syarikat.
Kenyataan media KESUMA memaklumkan ia selaras dengan penguatkuasaan Akta Kerja 1955 [Pindaan] 2022 dibawah seksyen 60P dan 60Q yang memberi hak kepada pekerja untuk memohon AKF bagi memenuhi keperluan semasa dan adaptasi teknologi.
Garis Panduan ini bertindak sebagai mekanisme pelaksanaan AKF kerana ia mengandungi semua elemen penting yang perlu diketahui oleh semua pihak khususnya pekerja dan juga majikan.
KAEDAH MELAKSANA AKF
“Ini termasuklah takrifan AKF, kaedah melaksanakan AKF, tatacara permohonan oleh pekerja, tanggungjawab pekerja dan juga tanggungjawab majikan dalam proses pelaksanaan AKF,” kata kenyataan media itu lagi.
Sebelum itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong merasmikan Program Peluncuran Garis Panduan Aturan Kerja Fleksibel dan Bengkel Kelestarian Kehidupan Bekerja di M Resort & Hotel, Kuala Lumpur. – JM