Oleh: Sholina Osman
5 DIS. 2024
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kemahiran teknikal seperti AI, data analitik, dan automasi perlu dikuasai untuk kekal relevan dan berdaya saing dalam dunia industri hari ini.
Baginda bertitah, teknologi kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) bukan sahaja merupakan satu keperluan dalam pelbagai bidang, tetapi juga menjadi pemangkin untuk memacu pembangunan negara ke tahap yang lebih tinggi.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan ‘AI Summer Camp University Tour 2024’ di Auditorium Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra, Arau.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Pengerusi FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin.
AI SUMMER CAMP
Program “AI Summer Camp University Tour” – Zon Utara 2024 berlangsung dari 2 hingga 7 Disember 2024 di Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra ini anjuran Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) dengan kerjasama Institut Informatik Visual (IVI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), UniMAP dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
AI Summer Camp ini juga telah dijalankan di UKM bagi Zon Tengah dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi Zon Timur.
Program ini juga bertujuan untuk memperkenalkan konsep asas AI kepada para pelajar dari Perlis, selain menggalakkan minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Ia melibatkan 66 peserta dari Institusi Pendidikan Zon Utara sedang mengikut bengkel-bengkel yang meliputi “AI & Data Analytics”,”Chatbox Development”,”Machine Vision”,”Virtual Reality” serta teknologi Robotik dan IoT.
PADA KALI INI
Antara Institusi Pendidikan yang terlibat pada kali ini termasuklah UniMAP, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, UiTM Merbok, UiTM Permatang Pauh, Pulau Pinang, Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Kangar, Kolej Vokasional Kangar, Kolej Vokasional Arau, Pra Universiti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi, Pra Universiti SMK Syed Sirajuddin dan Pra Universiti SMK Tengku Suleiman.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan untuk menyempurnakan simbolik perasmian yang berkonsepkan robotik mewakili UKM, UniSZAndan UniMAP sambil disaksikan para tetamu yang hadir.
Raja Muda percaya program seperti “AI Summer Camp” ini mampu melahirkan bakat muda yang berinovasi dan berdaya saing bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi juga di persada antarabangsa.
Pendidikan teknologi yang kukuh akan membolehkan anak-anak muda Perlis, dan Malaysia secara umumnya, memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi digital global dan seterusnya dapat menyumbang semula kepada peningkatan tenaga kerja mahir di negeri Perlis pada masa hadapan. – JM