Perpaduan sebenar saling terima perbezaan antara satu sama lain – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
4 DIS. 2024

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, perpaduan bukan sekadar hidup bersama-sama, tetapi perpaduan sebenar apabila saling memahami, menghormati, dan menerima perbezaan antara satu sama lain.

Baginda bertitah, setiap kaum mempunyai keunikan tersendiri, dan melalui penghargaan terhadap kepelbagaian inilah menjadikan Malaysia sebagai masyarakat majmuk.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, setiap pelajar harus berusaha untuk menjaga keharmonian dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa.

Titah Baginda, saling menolong, berbincang dengan penuh rasa hormat, dan bekerjasama dalam aktiviti-aktiviti sekolah tanpa mengira latar belakang kaum perlu menjadi amalan.

SUASANA LEBIH BAIK

Baginda juga percaya, dengan semangat perpaduan ini, kita bukan sahaja dapat mencipta suasana lebih baik di sekolah, malah kita juga dapat membawa nilai-nilai murni ini ke dalam kehidupan masyarakat di luar sana.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hussein yang melibatkan seramai 327 orang pelajar tingkatan 1 hingga 3.

Keberangkatan tiba Baginda yang diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil telah disambut oleh Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Murid), Che Rasaidi Che Yob dan Pengetua, Noryah Md Noh.

Turut hadir sama, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus dan Penyelaras YTSP Perlis, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

MELAKAR PELBAGAI KEJAYAAN

Noryah dalam ucapan aluannya berkata, SMK Syed Hussein telah melakar pelbagai kejayaan yang membanggakan dalam bidang kurikulum seiring dengan penambahbaikan lebih efisien dalam pelaksanaan program- program kecemerlangan akademik dalam usaha bagi memastikan keputusan terbaik SPM 2024.

Sekolah ini telah berjaya menjadi johan dalam pelbagai pertandingan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat negeri.

Antaranya ialah “Mini Documentary Competition 2024” dan “Bridge Building Competition 2024” di peringkat negeri serta johan bagi Pertandingan Boling MSSPs 2024, Kejohanan Memanah MSSPs, Kejohanan Golf MSSPs 2024, Kejohanan Olahraga MSSPs 2024 dalam acara lompat tinggi.

Para pelajar juga telah mengharumkan nama negeri dan sekolah dengan mendapat tempat ketiga di peringkat kebangsaan bagi, Robot Berautonomi Mikrobotik 2024, Karnival KRS dan Tunas KRS, Kejohanan Ultimate Frisbee Border Line Cup Open 2024.

MEMBAWA PULANG PINGAT

Serta kejayaan pelajar PPKI membawa pulang pingat Perak bagi Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSSM (acara 400 meter), pingat Gangsa pada Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSSM (acara merejam lembing) dan Para SUKMA Sarawak 2024 (acara sukan angkat berat).

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan perasmian ‘Bengkel Hipster Pastries’ yang akan menjadi ruangan khas buat pelajar PPKI sekolah untuk mendalami dan mempelajari ilmu pembuatan serta penyediaan pastri.

Baginda berdua turut dipersembahkan demonstrasi oleh para pelajar dengan bimbingan guru-guru penyediaan kek gebu, panna cotta serta cara-cara mendekorasi kek. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *