Oleh: Sholina Osman
30 NOV. 2024
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan proaktif bagi menangani masalah liputan telekomunikasi di kawasan banjir.
Kenyataan media MCMC memaklumkan antaranya menyelaras kerja-kerja baik pulih infrastruktur komunikasi bagi memastikan penduduk dapat terus berhubung semasa bencana.
Pada masa yang sama, pihak MCMC menyarankan supaya Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang tidak terjejas dengan banjir boleh digunakan untuk mengakses Internet.
SESI UJIAN LIPUTAN
Bagi memastikan liputan Internet di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berada pada tahap terbaik, sesi ujian liputan turut dilaksanakan untuk pihak MCMC mengenal pasti lokasi PPS yang bermasalah dan mengambil tindakan susulan.
MCMC juga menyelaras informasi dengan pihak jawatankuasa bencana daerah dan negeri mengenai kawasan yang berisiko tinggi dilanda banjir.
Ini bagi memastikan keselamatan pihak penyedia perkhidmatan semasa mereka melaksanakan penyelenggaraan di kawasan banjir.
AMARAN AWAL BANJIR
Di samping itu, maklumat amaran awal banjir turut disalurkan oleh MCMC kepada pengguna dengan kerjasama MKN dan MNO melalui pelbagai cara seperti khidmat pesanan ringkas (SMS).
Tindakan ini dapat membantu orang ramai mengemas kini maklumat banjir di seluruh negara.
Sehingga pukul 10 pagi 30 November 2024, 124 stesen pemancar dan 47 NADI masih terjejas susulan banjir yang sedang melanda tujuh negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Johor, Selangor dan Negeri Sembilan. – JM