Pengguna media sosial perlu bertanggungjawab kongsi maklumat bencana alam

Oleh: Sholina Osman
30 NOV. 2024

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya pengguna media sosial perlu lebih bertanggungjawab ketika berkongsi maklumat berkaitan banjir atau bencana alam.

Baginda bertitah, pastikan setiap gambar atau video yang dimuat naik disertakan dengan tarikh, masa, dan lokasi yang jelas.

“Sekaligus dengan maklumat yang tepat ini bukan sahaja dapat membantu pihak berkuasa mendapatkan gambaran sebenar, tetapi juga mengelakkan kekeliruan akibat penyebaran maklumat palsu,” titah Baginda.

PUSAT PEMINDAHAN SEMENTARA

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Nangka, Arau, malam tadi.

Keberangkatan Raja Muda disambut oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Ku Chik Ku Isa, Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud.

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga menyeru agar mangsa banjir berpindah ke pusat pemindahan yang telah disediakan.

Titah Baginda keputusan tersebut adalah demi memastikan keselamatan, kebersihan, dan akses mudah kepada bantuan logistik.

KEUTAMAAN PERLU DIBERIKAN

“Meskipun mungkin sukar untuk meninggalkan kediaman, keutamaan perlu diberikan kepada nyawa dan kesejahteraan keluarga,” titah Baginda.

Raja Muda turut berkenan menyampaikan sumbangan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berupa peralatan solat kepada pihak pengurusan PPS itu.

Lawatan Baginda mencerminkan keprihatinan institusi diraja terhadap kesejahteraan rakyat, terutamanya dalam situasi mencabar seperti ini.

MEMPERKUKUHKAN SEMANGAT PERPADUAN

Kehadiran Baginda juga memberi semangat kepada mangsa-mangsa banjir, sekaligus memperkukuhkan semangat perpaduan dalam menghadapi bencana.

Untuk rekod, sebanyak 22 keluarga melibatkan 73 mangsa yang kini berlindung di PPS berkenaan dari kawasan antaranya Kampung Rambai, Kampung Banggol Sena, Kampung Gial, Kampung Bukit dan Kampung Kuala Tunggang sejak 27 November lalu.

Terdahulu daripada itu Baginda meninjau Kampung Titi Besi Arau dan Kampung Rambai. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *