Oleh: Sholina Osman
30 NOV. 2024
Padiberas Nasional Berhad (BEENAS) bersetuju untuk menurunkan harga jualan Beras Putih Import di pintu gudang BERNAS di Semenanjung Malaysia daripada RM3,000 per tan metrik kepada RM2,800 per tan metrik berkuatkuasa mulai 1 Disember 2024.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata,
persetujuan ini dicapai hasil perbincangan di antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan BERNAS baru-baru ini.
Beliau berkata, penurunan harga ini adalah selari dengan penurunan harga semasa pasaran beras dunia serta pengukuhan nilai Ringgit Malaysia berbanding US Dollar.
KOS SARA HIDUP
“Kerajaan optimis inisitif ini akan dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui peningkatan akses dan ketersediaan bekalan beras pada harga lebih rendah,” katanya dalam kenyataan media.
Mohamad berkata, KPKM akan meneruskan perbincangan dengan semua pemegang taruh untuk memperhalusi pelan tindakan jangka panjang mengenai struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistik untuk memastikan industri padi dan beras negara terus berkembang dan seterusnya dapat menjaga kebajikan pesawah serta meningkatkan Tahap Sara Diri (SSR) beras negara.
“Sesungguhnya keputusan ini mencerminkan komitmen utuh kerajaan MADANI dalam menjaga kebajikan rakyat dan seterusnya memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan negara,” katanya. – JM