Oleh: Sholina Osman
Gambar: Ihsan FB KPM
30 NOV. 2024
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek terus bergegas ke Bilik Gerakan Bencana yang telah diaktifkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebaik tiba di Kota Bharu, Kelantan, tengah malam tadi.
Mengikut hantaran dari Facebook (FB) KPM, Fadhlina meninjau sendiri Bilik Gerakan Bencana ini yang beroperasi berdasarkan kepada keperluan semasa.
Ia memantau secara dekat situasi terkini banjir di seluruh negara.
STATUS SEKOLAH TERJEJAS
Ini termasuk menyediakan maklumat status sekolah terjejas banjir di seluruh negara, Pusat Pemindahan Sementaora (PPS) institusi pendidikan yang dibuka dan bilangan mangsa warga KPM yang ditempatkan di PPS.
Papan pemuka (dashboard) turut disediakan memaparkan data masa nyata (real-time) bencana.
Ia dikemaskini secara berterusan setiap hari sepanjang tempoh bencana.
MEMASTIKAN PENGURUSAN BENCANA
Selain bilik gerakan di ibu pejabat KPM di Putrajaya, fungsi sama turut diwujudkan di jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) bagi memastikan pengurusan bencana yang cekap demi manfaat seluruh masyarakat.
Selain memastikan keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya, KPM sedang memberi fokus penuh kepada persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Calon SPM yang terjejas banjir akan diberi bantuan khusus bagi memastikan tiada yang tercicir. – JM