Strategi mantap mampu lahirkan pelajar berjaya akademik, kokurikulum
Oleh: Sholina Osman
29 NOV. 2024
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, para pelajar memerlukan strategi asas yang mantap jika mahu menjadi individu yang berjaya sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum kerana sebarang kejayaan tidak akan dapat dicapai tanpa usaha yang bersungguh-sungguh dan juga pengorbanan.
Baginda bertitah, pelajar yang berjaya perlu mempunyai tahap fokus yang tinggi untuk memastikan diri tidak ketinggalan dalam pembelajaran dan memulakan langkah dengan menetapkan matlamat atau sasaran masing-masing dalam apa-apa juga yang dilakukan.
Titah Baginda, pembahagian masa yang bijak harus diberikan perhatian di mana merancang jadual sekolah dan jadual harian dengan seimbang agar para pelajar turut mempunyai masa yang cukup untuk berehat.
“Hal ini untuk memastikan para pelajar tidak stres dan sentiasa bersemangat untuk memulakan hari yang baharu,” titah Baginda.
PROGRAM TITIAN KASIH
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega 2024 anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Sheikh Ahmad, Arau yang melibatkan seramai 300 orang pelajar tingkatan 1 hingga 3.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Murid), Che Rasaidi Che Yob dan Pengetua sekolah tersebut, Adila Muhammad Nor.
Turut hadir sama, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus dan Ketua Penyelaras YTSP Perlis, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.
Menurut Adilah dalam ucapan aluannya, semua pihak memainkan peranan secara kolaboratif dalam usaha melahirkan murid yang cemerlang dari semua aspek sejajar dengan perkembangan global yang menekankan kepentingan insan bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan.
MEWUJUDKAN UKHWAH MURNI
Beliau yakin program sebegini dapat mewujudkan ukhwah murni antara semua yang hadir.
Malahan, pelajar-pelajar yang bertuah ini turut dapat menimba ilmu dan mengetahui perkembangan isu-isu semasa melalui topik-topik yang telah disampaikan khas oleh para penceramah yang diundang khas sempena Program Titian Kasih Mega 2024.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan perasmian ‘DSA Showroom Case’ yang merupakan bilik khas yang memaparkan kejayaan bekas pelajar-pelajar sekolah ini, hasil seni lukisan serta menyaksikan demonstrasi robot sumo daripada para pelajar sekolah itu. – JM