Hentikan polemik tindakan DBKL kuatkuasa papan tanda ikut akta – Dr Zaliha

Oleh: Sholina Osman
29 NOV. 2024

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa menyeru semua pihak, termasuk ahli politik, agar menghentikan polemik berhubung tindakan penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap papan tanda premis perniagaan yang tidak menepati Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982, Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Jelas beliau, banyak agenda penting untuk diberi perhatian, dan bermain dengan sentimen perkauman seperti ini hanya akan mewujudkan polarisasi yang memecahbelahkan rakyat sahaja.

Zaliha berkata, menjelang Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026, semua pihak perlu bersama-sama mengangkat martabat bahasa kebangsaan sebagai imej negara.

“Kuala Lumpur, sebagai pintu masuk utama negara seharusnya mencerminkan identiti nasional yang menonjolkan bahasa kebangsaan kita dengan jelas dan bangga,” katanya dalam kenyataan media.

MENTERI YANG BERTANGGUNGJAWAB

Zaliha berkata, tindakan penguatkuasaan oleh pihak DBKL ini adalah dalam pengetahuan beliau selaku Menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, keputusan ini turut konsisten dengan pendekatan yang telah diambil sejak isu Jalan Silang sebagai Mini Dhaka berbangkit lagi.

Zaliha berkata, semua pihak, tanpa mengira latar belakang, perlu mematuhi undang-undang dan peraturan tersebut.

Tambahnya, DBKL melalui Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982, Akta Kerajaan Tempatan 1976, telah menetapkan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan perlu diutamakan pada papan tanda premis.

HENDAKLAH DIBERI KEUTAMAAN

“Huruf-huruf dan perkataan-perkataan dalam bahasa kebangsaan hendaklah diberi keutamaan dan hendaklah dari saiz yang lebih besar daripada huruf-huruf atau tulisan perkataan dalam bahasa lain,” katanya.

Berikutan itu, katanya, kesemua papan tanda tersebut juga perlu mendapatkan pengesahan visual dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terlebih dahulu sebagai dokumen wajib untuk memohon kelulusan DBKL.

Sepanjang tahun 2024 kata Zaliha sebanyak 13 siri operasi, 264 notis telah dikeluarkan dan 36 premis telah diambil tindakan berhubung isu papan tanda premis ini.

Beliau memberitahu, antara kesalahan yang dikenakan tindakan adalah penggunaan papan tanda yang tidak mendapat permit dari DBKL atau papan tanda yang dipaparkan tidak mengikut kelulusan permit yang diberikan.

TEMPOH YANG MUNASABAH

Beliau berkata, notis juga telah diberikan dalam tempoh yang munasabah kepada pemilik premis untuk mengambil tindakan sebelum penguatkuasaan dibuat.

“Ingin ditegaskan bahawa penguatkuasaan ini adalah tugasan rutin DBKL yang sepatutnya telah dilaksanakan sejak dahulu lagi,” jelasnya.

Sehubungan itu katanya, penguatkuasaan ini bukan atas desakan mana-mana pihak atau individu, tetapi atas dasar memastikan peraturan yang berkuat kuasa dipatuhi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *