OPS TIRIS 3.0: KPDN rampas barang kawalan subsidi RM88.96 juta

Oleh: Sholina Osman
29 NOV. 2024

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah berjaya merampas barang kawalan dan bersubsidi sebanyak RM88.96 juta hasil penguatkuasaan OPS TIRIS 3.0 bermula 1 Januari 2024 hingga 27 November 2024.

Timbalan Menterinya, Dr. Fuziah Salleh berkata, sebanyak 39,653 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara dalam tempoh tersebut.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 2,570 kes telah dihasilkan.

“Sebanyak 606 orang individu telah ditangkap di mana ia melibatkan warga tempatan, warga asing dan pemastautin tetap,” katanya dalam kenyataan media.

PEMBUKAAN GUDANG BAHARU

Sebelum itu, Dr. Fuziah telah merasmikan pembukaan gudang baharu penyimpanan tong komposit LPG AGGas Cawangan Melaka.

Astana City Group Sdn Bhd (ACGSB) merupakan salah satu syarikat pembekal Gas Petroleum Cecair (LPG) dibawah jenama ACGas di Malaysia.

ACGas telah memperkenalkan teknologi silinder LPG komposit di Malaysia sejak November 2018 dan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan LPG yang menyokong keperluan pengguna di Malaysia.

Dr. Fuziah berkata, industri LPG di Malaysia merupakan sektor penting yang menyokong pelbagai keperluan harian rakyat dan ekonomi negara yang bertanggungjawab dalam memastikan kestabilan bekalan dan kawalan harga barangan bagi memastikan rakyat dapat menikmati bekalan LPG yang berkualiti dan mencukupi pada harga yang berpatutan.

RANTAIAN BEKALAN LPG

“Seiring dengan usaha berterusan oleh KPDN dalam memastikan rantaian bekalan LPG negara berada pada tahap yang optimum, penyimpanan yang lebih baik oleh AVGas ini diharapkan dapat meningkat kecekapan pengedaran dan meminimumkan sebarang kekurangan bekalan yang mungkin berlaku,” katanya.

Beliau berkata, KPDN dengan kerjasama pelbagai agensi Kerajaan yang lain dalam usaha membangunkan industri petroleum khususnya industri borong petroleum bagi memastikan rantaian pengedaran dan akses kepada bahan petroleum lebih mudah kepada pengguna.

Sehubungan itu, katanya, KPDN berharap agar setiap syarikat pembekal LPG dapat mematuhi peraturan-peraturan sedia ada Kementerian khususnya Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB) yang menekankan keutamaan terhadap aspek keterjaminan bekalan, rantaian pengedaran dan kawalan keselamatan terhadap barang kawalan berjadual.

Bagi memastikan pengurusan dan pengedaran produk petroleum teratur dan jaminan terhadap keselamatan pengguna, pihaknya menyeru agar syarikat LPG sentiasa patuh dengan akta-akta yang diperuntukkan tidak terhad hanya di bawah kawal selia KPDN malah juga di bawah Agensi Kerajaan yang berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH). – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *