Markas 30 Briged Infantri laksana program CIMIC di Kampung Nelayan Warna Warni

Oleh: Sholina Osman
28 NOV. 2024

Markas 30 Briged Infantri Tentera Darat Malaysia telah melaksanakan Program Civil-Military Cooperation (CIMIC) MINDEF Teras 4 Peringkat 30 Briged di Kampung Nelayan Warna Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis mulai pukul 8 pagi sehingga 7 petang, 28 November 2024.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah Pameran Senjata dan Kenderaan Tentera, Demonstrasi Masakan Rangsum Tempur, Pemeriksaan Kesihatan dan Gotong-Royong Perdana serta beberapa aktiviti lain yang melibatkan penyertaan pegawai dan anggota 30 Briged serta masyarakat setempat Kampung yang terlibat dalam Program Transformasi DiRaja tersebut.

Program yang turut dianjurkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertujuan mempertingkatkan penglibatan rakyat dan seluruh komuniti masyarakat dalam aspek pertahanan serta keselamatan Negara.

KEADAAN HUJAN LEBAT

Demikian dipersembah maklumkan oleh Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan berangkat bagi menyempurnakan majlis tersebut walaupun dalam keadaan hujan lebat yang melanda negeri ini sejak beberapa hari yang lalu.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Selepas itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs turut berkenan untuk mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli bagi menyantuni dan mendekati para asnaf di sekitar kampung tersebut.

PARA PEGAWAI KANAN

Kayuhan amal pada edisi kali ini turut disertai oleh para pegawai kanan serta anggota lain-lain pangkat Markas 30 Briged Infantri serta ketua-ketua jabatan dan agensi Negeri serta Persekutuan dalam usaha membantu golongan asnaf dan menyelami kesusahan dan kepayahan mereka seterusnya menyalurkan bantuan yang sewajarnya.

Raja Muda berkenan singgah bagi menyampaikan sumbangan MAIPs kepada asnaf yang terpilih pada kali ini terdiri kepada Ali Jaya Pin, 71 dari Taman Wai Permai, Aminah Othman, 95 dari Kampung Seberang Tandiap dan Ah Saad, 93 dari Kampung Seberang Alor.

Masing-masing menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah bagi membantu menampung keperluan harian mereka. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *