Oleh: Sholina Osman
26 NOV. 2024
Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyumbangkan sebanyak RM35,000 kepada
Maahad Tahfiz Al-Quran Nurul Saadah di Behor Mali yang terjejas akibat kebakaran di bangunan asramanya pada 25 September 2024.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs berkenan menyampaikan sumbangan berkenaan kepada Ustaz Mohd Shafiq Mustafa, wakil pengurusan maahad tahfiz tersebut, sebagai usaha meringankan beban mereka untuk pemulihan asas dan pembangunan semula.
Hadir sama mengiringi Baginda ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Muhammad Azmir Azizan; Timbalan Yang DiPertua MAIPs, Dr. Hazman Hassan; Ketua Hakim Syarie Perlis, Jaidi Ahmad; serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
MELAKSANAKAN SEMAKAN BERKALA
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap yang DiPertua MAIPs semasa bertitah menasihatkan pihak pengurusan maahad di seluruh negeri ini agar melaksanakan semakan berkala terhadap pepasangan elektrik serta aspek keselamatan bangunan.
Baginda menekankan pentingnya langkah proaktif seperti pemeriksaan sistem pendawaian, alat pemutus litar, dan soket bagi mengelakkan risiko kebakaran.
Selain itu, Baginda turut mencadangkan agar latihan keselamatan kebakaran dilakukan secara berkala untuk memastikan penghuni dan kakitangan maahad bersedia menghadapi sebarang kecemasan.
BENAR-BENAR SELAMAT
“Keselamatan bangunan perlu diutamakan bagi memastikan institusi pendidikan seperti maahad tahfiz menjadi tempat yang benar-benar selamat untuk anak-anak kita menuntut ilmu,” titah Baginda.
Titah Baginda, jangan tunggu musibah berlaku, sebaliknya bertindak proaktif untuk mencegahnya.
Terdahulu daripada itu Baginda berkenan berangkat menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada 20 asnaf terpilih di Masjid Al-Hidayah Kampung Titi Beratap sebagai sebahagian daripada program Hijrah Minda anjuran MAIPs.
MEMBANTU GOLONGAN MEMERLUKAN
Program ini bertujuan membantu golongan memerlukan dalam komuniti setempat selain menggalakkan solidariti dan sokongan bersama.
Keprihatinan Raja Muda terhadap kebajikan rakyat jelas terpancar melalui komitmen baginda dalam memastikan golongan asnaf dan institusi pendidikan seperti maahad tahfiz mendapat perhatian dan bantuan yang sewajarnya.
Usaha ini tidak hanya meringankan beban mereka yang memerlukan tetapi juga memperkukuhkan nilai-nilai kesejahteraan dalam masyarakat. – JM