Oleh: Sholina Osman
26 NOV. 2024
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah supaya setiap wakil rakyat di negeri itu bekerja demi untuk kepentingan rakyat, supaya setiap rakyat di Perlis dapat menikmati manfaat yang diperoleh negeri.
“Letakkan rakyat itu lebih penting daripada kita (wakil rakyat), utamakan rakyat lebih (berbanding) pada kita, kalau kita dahulukan kita sendiri itu bukan wakil rakyat, itu kita wakil kita sendiri.
Baginda mahukan setiap wakil rakyat dan pemimpin di negeri ini bekerja untuk kepentingan rakyat supaya setiap rakyat dapat manfaat.
SEMPENA ISTIADAT PELANTIKAN
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah demikian sempena Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis
Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis di Istana Arau.
Berangkat sama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Hadir sama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Baginda juga berharap barusan Exco Perlis mengambil peluang semasa tugasan rasmi ataupun tidak rasmi di Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan pegawai atasan di sana, bagi menyelesaikan sesuatu isu yang dihadapi negeri itu mengikut portfolio masing-masing.
AMBIL BERAT PORTFOLIO
“Beta harap ambil berat portfolio masing-masing. Jika tidak faham tentang tugas atau portfolio boleh jumpa dengan orang yang lebih tahu, setiausaha kerajaan negeri boleh bantu,” titah Baginda.
Raja Perlis menzahirkan kebimbangan apabila merasakan meskipun
kemajuan negeri itu berada pada landasan ke hadapan, namun ia agak perlahan berbanding negeri lain maka pentadbiran kerajaan negeri perlu memberikan perhatian kepada hal itu.
Baginda bertitah sepatutnya Perlis sebagai sebuah negeri kecil lebih mudah untuk ditadbir, sekali gus akan cepat membangun berbanding negeri lain.
“Sebenarnya kita negeri kecil boleh bergerak lebih lancar, lebih laju daripada negeri lain.
“Nak mentadbir negeri besar susah tetapi mentadbir negeri kecil lebih senang…inilah pesanan saya, saya cukup rasa bimbang takut kita biar saja, kita akan ketinggalan ke belakang lagi,” titah Baginda. – JM