Oleh: Sholina Osman
26 NOV. 2024
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzli berkata, landskap dunia penyiaran negara semakin berubah dengan ledakan teknologi, serta perluasan akses Internet dan telekomunikasi.
Beliau berkata, perubahan ini telah membawa kepada anjakan dalam kaedah menonton dan penghasilan kandungan (content), yang boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.
“Ini juga selaras dengan fokus Kementerian Komunikasi untuk memantapkan infrastruktur telekomunikasi dan kebolehcapaian yang berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Pelancaran Aplikasi MYTV Mana-Mana Di Infotainment Head Unit (IHU) Proton X Series di Proton DX, Quill City Mall, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
BOLEH MENGAKSES PELBAGAI
Fahmi berkata, menerusi aplikasi “MYTV Mana-Mana”, pengguna Proton X70 kini boleh mengakses pelbagai kandungan hiburan melalui unit radio Infotainment-Head-Unit (IHU) dengan sambungan Internet yang tersedia dalam kenderaan tersebut.
“Ini pencapaian yang membanggakan dalam usaha memperkukuh ekosistem pendigitalan, dan memperluas akses kepada hiburan, serta maklumat berkualiti,” katanya.
Jelas Fahmi, platform MYTV Mana-Mana yang disediakan oleh MYTV adalah setanding dengan penyedia perkhidmatan Over The Top atau OTT yang lain, serta mempunyai beberapa ciri menarik.
Katanya, ini akan membolehkan pengguna mempunyai banyak pilihan akses kepada hiburan dan rancangan menarik melalui platform penstriman nasional secara percuma.
“Kerjasama MYTV – Proton – Aco Tech adalah model terbaik sinergi antara sektor penyiaran, automotif dan teknologi untuk menghasilkan produk yang memenuhi keperluan semasa rakyat,” kata Fahmi.
Beliau percaya, perkhidmatan penstriman “MYTV Mana-Mana di IHU Proton” akan menarik lebih ramai pembeli kenderaan tempatan, serta menonjolkan Malaysia sebagai peneraju inovasi dalam pasaran automotif antarabangsa.
Fahmi berharap kerjasama strategik ini terus diperluaskan kepada lebih banyak model kenderaan Proton di masa hadapan. -JM