Oleh: Sholina Osman
25 NOV. 2024
Institut Jantung Negara (IJN) merancang untuk memperluaskan lagi program “Catch ’em Young,” supaya dapat membina asas kesedaran awal mengenai kesihatan jantung di kalangan pelajar dan kerjaya dalam bidang perubatan di kalangan pelajar sekolah, khususnya di kawasan luar bandar.
Kenyataan media IJN memaklumkan menerusi program ini juga diharap
dapat menggalakkan lebih ramai generasi muda lebih peka dalam penjagaan kesihatan.
“Catch ’em Young,” juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) IJN, yang bertujuan untuk memperkenalkan pelajar sekolah kepada kerjaya dalam bidang kesihatan serta menyediakan kemudahan kesihatan yang lebih baik kepada masyarakat luar bandar.
SMK Derma di Kangar, Perlis merupakan sekolah ketiga di negara ini yang menerima manfaat menerusi program “Catch ’em Young,” pada tahun 2024 apabila menerima bilik rawatan sekolah (sick bay) yang dinaik taraf.
PENYERAHAN BILIK RAWATAN
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan penyerahan bilik rawatan sekolah oleh IJN yang dinaik taraf di SMK Derma, Kangar, Perlis.
Hadir sama Pengerusi IJN Holding, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, IJN Holdings, Prof Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Akmal Arief Mohamed Fauzi dan Pengetua SMK Derma, Haliah Othman.
Dalam kenyataan media itu juga juga menjelaskan, sebelum ini, SMK Sultan Ahmad Shah (SMKSAS) di Cameron Highlands, Pahang serta Sekolah Kebangsaan (SK) Keruak di Jerteh, Terengganu menjadi lokasi pertama dan kedua di mana IJN menyerahkan bilik rawatan yang dinaik taraf pada bulan Julai dan awal November lalu.
Selain SMK Derma, SMK Perlis juga terpilih sebagai sekolah penerima projek ini.
SESI CERAMAH KERJAYA
Bersempena itu diadakan sesi ceramah kerjaya di SMK Perlis, di mana doktor dan jururawat IJN sendiri berkongsi pengalaman mereka dalam bidang perubatan.
“Sesi ini bertujuan untuk memberi inspirasi kepada pelajar mengenai laluan kerjaya dalam bidang kesihatan sambil memberikan gambaran realistik tentang cabaran dan peluang yang terdapat dalam profesion ini,” kata kenyataan media itu lagi.
“Menaik taraf bilik rawatan di SMK Derma ini bertujuan untuk menyediakan persekitaran yang lebih profesional dan kondusif, menyerupai suasana hospital bagi memudahkan pelajar dan kakitangan sekolah dalam mendapatkan rawatan asas.
Projek ini dimulakan pada 15 November 2024, dengan penglibatan 16 kakitangan IJN bagi memastikan setiap aspek naik taraf memenuhi piawaian tinggi yang ditetapkan.
SEKOLAH YANG TERPILIH
Bagi proses penilaian pemilihan sekolah, salah satu kriterianya adalah sekolah yang terpilih perlu mempunyai Kelab Doktor Muda.
Tujuan ini adalah untuk mendidik dan mencungkil minat ahli-ahli Kelab Doktor Muda sebagai usaha untuk meningkatkan profesion pakar perubatan masa hadapan.
Selain itu, IJN juga mewujudkan laluan kerjaya di laluan utama pelajar dan memaparkan kerjaya serta perjalanan bagi mencapai cita-cita untuk menjadi doktor, jururawat dan ahli farmasi. – JM