OPS TIRIS 3.0: 39,069 pemeriksaan telah dilaksanakan di seluruh negara

Oleh: Sholina Osman
25 NOV. 2024

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebanyak 39,069 pemeriksaan telah dilaksanakan di seluruh negara melalui
OPS TIRIS 3.0 bermula 1 Januari 2024 hingga 22 November 2024.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 2,521 kes direkodkan dengan 604 individu telah berjaya ditangkap melibatkan warga tempatan dan warga asing dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah hampir RM87.03 juta (RM87,034,264.29).

“Manakala untuk OPS KESAN pula, bermula 1 Januari 2024 sehingga 23 September 2024, KPDN telah melaksanakan 50,725 pemeriksaan premis dan telah menerima 106 aduan awam di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan media.

PERBARISAN TAMAT LATIHAN

Sebelum itu, Armizan telah merasmikan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Sains Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Tahun 2024 di Kem Permata Resort, Alor Gajah, Melaka.

Beliau berkata, seramai 284 pegawai, iaitu 244 pegawai lantikan baharu serta 40 pegawai Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) dan Pegawai Sedang Berkhidmat (PSB) telah berjaya menamatkan latihan pada kursus kali ini.

“Kadet-kadet ini terdiri daripada Pegawai Penguat Kuasa Gred KP41, Penolong Pegawai Penguat Kuasa Gred KP29 dan Pembantu Penguat Kuasa Gred KP19,” katanya.

SKIM PENGUAT KUASA

Dengan pengisian perjawatan skim penguat kuasa KPDN melalui kursus ini katanya, jumlah keseluruhan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN adalah seramai 2,464 orang.

Beliau menambah, pengisian perjawatan ini adalah sejajar dengan agenda KPDN untuk meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan.

“Bermula Januari 2025, agenda ini akan diperkukuhkan melalui strategi meningkatkan keberadaan (omnipresence) jentera penguat kuasa KPDN di lapangan,” ujarnya.

MEMASTIKAN ASPEK KAWALAN

Armizan berkata, strategi ini amat penting untuk memastikan aspek kawalan dan pemantauan diperkasakan termasuk melaksanakan tindakan susulan terhadap setiap aduan dan laporan yang diterima oleh pelbagai pihak.

Beliau berkata, strategi omnipresence ini juga dirangka selaras dengan pelaksanaan KITA GEMPUR yang menggembleng peranan empat komponen pemegang taruh, iaitu (K) agensi Kerajaan, (I) pemain Industri, (T) pematuhan Tatakelola dan (A) partisipasi Awam dalam Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (GEMPUR). – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *