Imigresen bakal perkenal pas khas dalam talian (eSP) – Saifuddin

Oleh: Sholina Osman
25 NOV. 2024

Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) meluncurkan pelaksanaan pas khas dalam talian (eSP) yang merupakan salah satu inisiatif dalam mentransformasi penyampaian perkhidmatan ke arah pendigitalan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pas khas merupakan satu dokumen yang dikeluarkan kepada warganegara asing bertujuan untuk memberi hak kepada pemegang masuk dan tinggal di Malaysia tidak melebihi tiga puluh hari berdasarkan kepada peraturan 14, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Beliau berkata, sebanyak 139,344 pas khas telah dikeluarkan pada tahun 2023.

KEPADA WARGANEGARA ASING

“Sehingga Oktober tahun ini, sebanyak 119,019 Pas Khas telah dikeluarkan kepada warganegara asing,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan KDN yang berlangsung di Dewan Gemilang, Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya.

Saifuddin berkata, secara purata, 50 peratus daripada jumlah urusniaga di kaunter Pas Lawatan Sosial dan Ikhtisas di Bahagian Visa, Pas dan Permit, JIM adalah berkaitan permohonan Pas Khas.

Beliau berkata, pada masa ini, urusniaga permohonan dan pengeluaran Pas Khas dilaksanakan secara manual di mana pemohon perlu hadir ke kaunter dan mengemukakan dokumen secara fizikal.

URUSAN MENYELARAS KEBERADAAN

“Memandangkan 50 peratus warganegara asing yang hadir ke Pejabat Imigresen adalah untuk urusan menyelaras keberadaan di Malaysia, hal ini telah menyebabkan kesesakan di Bahagian Visa, Pas dan Permit,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan eSP ini akan membantu mengurangkan kesesakan pelanggan yang hadir berurusan di kaunter serta menerapkan budaya kerja baharu secara “silent office”.

“eSP merupakan platform permohonan Pas Khas secara dalam talian dalam menguruskan keberadaan pemegang Pas Lawatan Sosial (PLS) Jangka Panjang dan Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) yang mempunyai pas yang masih sah,” katanya.

SEDANG MENUNGGU KEPUTUSAN

Beliau berkata, mana-mana warganegara asing yang sedang menunggu keputusan untuk permohonan baharu/ lanjutan/ pertukaran PLS Jangka Panjang/ PLIK atau yang mengalami masalah seperti sakit (hospitalized), kemalangan jalan raya, bencana alam, berada di dalam situasi yang di luar kawalan pemohon serta lain-lain sebab yang difikirkan wajar dan munasabah boleh memohon kemudahan eSP ini.

Secara asasnya, beliau berkata, eSP adalah suatu kemudahan kepada pemohon dalam menguruskan hal-hal berkaitan imigresen, terutamanya dalam situasi kecemasan atau yang memerlukan pertimbangan khas.

Tegasnya, KDN tidak berkompromi dari aspek keselamatan, meskipun proses permohonan dilakukan secara dalam talian, aspek keselamatan dan ketelusan tidak diabaikan.

SYARAT DAN KELAYAKAN

“Pemohon perlu memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan mengikut dasar semasa yang berkuatkuasa,” katanya.

Belliau berkata, mereka dikehendaki memuatnaik dokumen sokongan yang diperlukan untuk menyokong permohonan eSP mereka.

“Setiap permohonan akan disemak dengan teliti oleh pegawai untuk memastikan hanya warganegara asing yang benar-benar layak akan diberikan kemudahan eSP,” ujarnya.

Saifuddin berkata, pemohon yang tidak memenuhi syarat kelayakan atau tidak diluluskan, akan diarahkan untuk hadir ke Pejabat Imigresen terdekat bagi pemeriksaan lanjut dan penjelasan berhubung status permohonan mereka,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *