FAMA laksana 13 kali Jualan Agro Madani Khas Sempadan Malaysia-Thailand

Oleh: Sholina Osman
Gambar: Ihsan Jabatan Penerangan Perlis

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah melaksanakan 13 kali Jualan Agro Madani Khas Sempadan Malaysia-Thailand yang melibatkan Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.

Pengerusinya, Aminuddin Zulkipli berkata, pelaksanaan Jualan Agro Madani Khas ini telah berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM170,112.00 dengan penglibatan 231 usahawan.

“Program ini telah memberi manfaat kepada 5, 670 pengguna dan 22, 682 isi rumah dengan nilai penjimatan sebanyak RM51, 033.00,” katanya pada sidang media.

Aminuddin berkata, kali ini FAMA telah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perlis bagi menganjurkan Jualan Agro Madani Khas di Padang Besar Street yang merupakan lokasi membeli-belah terbaharu di Padang Besar, Perlis.

MENYASARKAN NILAI JUALAN

Ia melibatkan 50 usahawan dan FAMA yang menyasarkan nilai jualan sebanyak RM30,000 dengan 4,000 pengunjung.

Hadir sama, Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim dan Pengarah FAMA Perlis, Mohd Anzara Azizan.

FAMA mengambil inisiatif melaksanakan Jualan Agro Madani Khas Sempadan bagi menyahut saranan Perdana Menteri agar aktiviti ekonomi seperti Pasar Tani dan Jualan Agro Madani dipertingkatkan di kawasan sempadan Malaysia-Thai berikutan kadar tukaran mata wang Ringgit Malaysia (RM) semakin mengukuh berbanding Bath, Thailand.

Saranan ini dibuat melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 September 2024, untuk Perutusan Khas “Peningkatan Ketara Rakyat Malaysia Melancong ke Thailand”.

SUDAH EMPAT KALI

Aminuddin berkata, di peringkat Perlis pula, sudah empat kali Jualan Agro Madani Khas Sempadan dilaksanakan.

“Ia melibatkan lokasi di Wang Kelian dan Padang Besar dengan catatan jualan RM51,415.00,” katanya.

Jelasnya, sepanjang pelaksanaan ini, ia melibatkan 106 usahawan yang memberikan manfaat kepada 6,848 isi rumah dengan jumlah penjimatan sebanyak RM15, 425.00. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *