Oleh: Sholina Osman
24 NOV. 2024
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, sebanyak 500 projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) ditetapkan sebagai sasaran bagi tahun 2025 bagi memastikan impak yang lebih besar dan menyeluruh.
Beliau berkata, sasaran ini bukan sekadar angka, tetapi simbol komitmen untuk mempercepatkan transformasi sektor awam, memperkukuh perkhidmatan kepada rakyat, dan mendukung agenda pembangunan negara.
Shamsul Azri berkata, bagi menyokong pencapaian ini, kerajaan telah memperuntukkan RM25 juta sebagai komitmen terhadap usaha transformasi yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan.
KITA MENCIPTA PERUBAHAN
Jelasnya, peruntukan ini adalah peluang untuk kita mencipta perubahan yang nyata dan memberikan kesan positif kepada rakyat.
Justeru itu beliau menyeru semua pihak untuk mengambil langkah segera dengan mengenal pasti projek RKB yang bersesuaian di peringkat masing-masing dan memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
“Marilah kita bersama- sama menjadikan tahun 2025 sebagai tahun perubahan besar-besaran yang akan mencatat sejarah sebagai pencapaian tertinggi reformasi perkhidmatan awam di Malaysia,” katanya ketika berucap sempena majlis Penutup Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur.
200 PROJEK RKB
Shamsul Azri berkata, sebanyak 200 projek RKB telah dan sedang dilaksanakan pada tahun ini.
“Saya percaya, dengan adanya sistem pemantauan dan peningkatan berterusan seperti RKB, perkhidmatan awam dapat berfungsi sebagai pemangkin kepada produktiviti sektor awam dan swasta, dan secara keseluruhannya kepada negara dan daya saing ekonomi,” katanya.
Shamsul Azri berkata, usaha menarik dan memudah cara pelaburan dan aktiviti ekonomi adalah tanggungjawab penjawat awam dengan menggunakan kepakaran dan kemahiran serta memanfaatkan kebolehan dan keistimewaan Perdana Menteri di arena antarabangsa dengan mengemukakan idea baharu bagi merebut peluang dalam bidang-bidang tujahan terkini seperti AI, keselamatan siber, dan fintech. – JM