Oleh: Sholina Osman
23 NOV. 2024
Canselor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan Anugerah Canselor (Martabat Al-Syaraf Al-Ula) 2024 kepada Marsya Nasrin Mohd sempena Konvokesyen ke-7, 23 November 2024.
Marsya Nasrin dari Fakulti Pengajian Islam (FPI) ini setiap semester memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.91 telah menerima tajaan Latihan Daurah dari KUIPs, wang tunai RM1,250 dari Yayasan AlKhairi dan RM1,500 dari Agrobank serta surat tawaran pekerjaan dari Agrobank.
Sepanjang pengajiannya graduan ini bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi aktif dalam aktiviti kokurikulum juga.
Anak kedua dari dua adik beradik dari Terengganu ini ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang membolehkannya menerima Ijazah dalam konvokesyen kali ini.
TANPA DITEMANI IBU
“Hadir untuk mendaftar di universiti ini tanpa ditemani ibu dan bapa kerana ketika itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 sesungguhnya menyedihkan tetapi Marsya hadiahkan pengorbanan ibu dan bapa yang tidak dapat hadir dengan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dan Anugerah Canselor ini kepada kedua ibu bapa dan abang ipar yang menghantar saya semasa pendaftaran,” katanya ketika ditemui.
Di atas penganugerahan dan pencapaian ini Marsya juga merakamkan penghargaan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang telah memberikan tajaan penuh sepengajiannya.
Manakala bagi pensyarah dan rakan-rakan sepengajian jasa dan sokongan kepadanya hingga ke tahap ini amat dihargai.
“Sesungguhnya persekitaran ilmu dan tarbiah di universiti yang menekankan thaqafah agama dan tarbiah kepada semua pelajar ini bersesuaian dengan slogan ‘Di Sini Pencinta Sunnah Dilahirkan,” sambung Alumni KUIPs ini. – JM