Oleh: Sholina Osman
23 NOV. 2024
Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang kini dikenali Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin atau UniSIRAJ buat kali pertama pada tahun ini menghantar 20 orang kakitangannya untuk menjalani Daurah Umrah di Mekah dan Madinah.
Rektornya, Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle berkata, perkara ini tidak lain tidak bukan untuk menerapkan pembudayaan ‘Applied Sunnah’ kepada warga Universiti dan menambah baik pengkayaan nilai dalam pengembangan kerjaya kakitangan.
Sehingga kini, katanya, KUIPs mempunyai seramai 275 orang kakitangan merangkumi staf pentadbiran dan staf akademik.
MEMANFAATKAN KEPAKARAN AKADEMIK
“Pengambilan kakitangan dalam jumlah besar membuktikan komitmen kita memanfaatkan kepakaran akademik dan membuka ruang pekerjaan kepada penduduk negeri Perlis khasnya,” katanya ketika berucap sempena Istiadat Konvokesyen Kali Ke-7 KUIPs di Dewan 2020.
Muhamad Rozaimi berkata, KUIPs akan terus komited dalam penganjuran dialog terbuka bagi pembudayaan sihat ‘academic discourse’, debat ilmiah, seminar dan dawrah pemantapan Aqidah & Shariah.
Jelas beliau, tradisi ini membuktikan bahawa fokus penuh KUIPS terhadap usaha untuk melahirkan graduan unggul yang berjuang di atas asas ilmu, tarbiyah akhlak dan mementingkan keseimbangan di antara kepentingan individu dengan kepentingan masyarakat.
KUIPS HUB PENDIDIKAN
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan pada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) atas sokongan padu dengan kurniaan Biasiswa Pendidikan Tinggi MAIPs sebanyak 450 Pelajar dengan fokus utama menjadikan KUIPs hub Pendidikan di peringkat tempatan dan global,” katanya.
Beliau berkata, KUIPs juga merupakan Nazir Khas Wakaf MAIPS bagi Dana Wakaf Jamalullail bermula 2023 yang sehingga kini telah menjana sumbangan bersih sebanyak RM1.138 juta bagi kelestarian aktiviti akademik universiti.
Beliau juga menzahirkan ucapan penghargaan buat Mufti Perlis dan seluruh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis dalam membantu MAIPs dan KUIPs secara khususnya bagi pembiayaan biasiswa kepada asnaf fi sabilillah.
Sementara itu, seramai 837 graduan KUIPs menerima Ijazah dan Diploma masing-masing pada Istiadat Konvokesyen Kali Ke-7 pada 23 November 2024 di Dewan 2020, Kangar, Perlis. – JM