Jabatan, agensi kerajaan di Perlis diminta memperkasa Kempen “War on Sugar”

Oleh: Sholina Osman
24 NOV. 2024

Jabatan Kesihatan Negeri Perlis berharap Kempen “War on Sugar” diperkasakan di setiap jabatan dan agensi kerajaan di seluruh negeri, seterusnya meliputi segenap lapisan masyarakat dalam usaha untuk sama-sama memerangi gula secara besar-besaran.

Pengarah Kesihatan Perlis, Dr Ghazali Chik berkata, antara pendekatan paling mudah yang telah dipraktikkan adalah di Jabatan Kesihatan Negeri Perlis sendiri.

“Kami melaksanakan air kosong sahaja semasa jamuan dalam mana-mana mesyuarat tanpa hidangan minuman manis seperti kebiasaan, serta mengasingkan gula daripada bancuhan minuman panas seperti teh atau kopi jika minuman tersebut disediakan,” katanya ketika berucap pada Program “Kick-Off”: Ke Arah Perlis Sihat Sejahtera 2030 di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, Persiaran Wawasan di Kangar.

Perasmian Program Khas Perlis Sihat Milik Semua dan Pelancaran Kempen War On Sugar Peringkat Negeri Perlis disempurnakan oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis,
Yang Zaimey Yang Ghazali.

Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah Mega Fun Robic, Fun Walk 3 km, Pameran Interaktif oleh pelbagai bahagian dari Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Saringan kesihatan dan Ujian Kecergasan, Cabutan Bertuah
serta Kid’s Zone dan Fun Games.

PELAN STRATEGIK KESIHATAN

Ghazali berkata, Jabatan Kesihatan juga sedang membangunkan Pelan Strategik Kesihatan yang lebih komprehensif  bagi Negeri Perlis dan salah satu strategi adalah menerusi inisiatif ke arah Perlis Sihat Sejahtera 2030.

Beliau berkata, Program Khas Perlis Hebat Sihat Milik Semua ini adalah sebagai satu pengenalan khusus , yang bertujuan untuk meningkatkan amalan gaya hidup sihat, agar masyarakat negeri ini khususnya penjawat awam kekal sihat sejahtera dan produktif, dengan misi untuk menurunkan prevalen faktor risiko kesihatan dalam kalangan penduduk negeri Perlis.

“Kita telah bersama-sama melakukan aktiviti funrobik dan funwalk pada pagi ini dan selain daripada aktiviti tersebut, Jabatan ini juga menyediakan pelbagai perkhidmatan saringan kesihatan, kecergasan dan pergigian serta aktiviti pameran interaktif kepada semua yang hadir,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *