Oleh: Sholina Osman
23 NOV. 2024
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mengumumkan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) telah dinaiktaraf sebagai Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin atau UniSIRAJ.
Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Canselor KUIPs bertitah demikian setelah Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) melalui surat bertarikh 15 November 2024 telah meluluskan pendaftaran KUIPs untuk dinaik taraf sebagai universiti.
“Alhamdulillah. Tahniah kepada semua dan pencapaian membanggakan ini diharap dapat meningkatkan lagi motivasi semua warga UniSIRAJ untuk bekerja dan berusaha dengan lebih keras lagi bagi menjayakan misi dan visi universiti,” titah baginda.
ADALAH ALUMNI UniSIRAJ
“Kepada pelajar, tahniah anda semua adalah Alumni UniSIRAJ,” titah Baginda sempena Istiadat Konvokesyen Kali Ke-7 KUIPs di Dewan 2020.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, menjadi graduan KUIPs berdaya saing yang memenuhi keperluan industri dan alumni yang memiliki tanggungjawab menyumbang semula kepada alma mater.
“Peranan alumni dalam menyokong KUIPs tidak hanya melibatkan sumbangan kewangan bahkan, ia juga boleh diterjemahkan dengan melibatkan perkongsian pengalaman dan kerjaya, bengkel pembelajaran, dan bantuan dalam mempersiapkan pelajar untuk pasaran kerja yang kompetitif,” titah Baginda.
TIDAK MENGABAIKAN TANGGUNGJAWAB
Baginda bertitah, peranan pelajar pula adalah tidak mengabaikan tanggungjawab dan amanah daripada ibu dan bapa.
“Pelajar harus belajar bersungguh-sungguh ketika di KUIPs dan memberi komitmen yang tinggi dalam sesi pembelajaran di dalam kelas,” titah Baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, pelajar juga perlu menggunakan peluang pembiayaan pengajian melalui Biasiswa Pengajian Tinggi MAIPS-KUIPs yang diberikan bagi mendapatkan keputusan yang cemerlang.
Seramai 837 graduan KUIPs menerima Ijazah dan Diploma masing-masing pada Istiadat Konvokesyen Kali Ke-7 pada 23 November 2024 di Dewan 2020, Kangar, Perlis. – JM