Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita)
23 November 2024
Sejak Bersih memberi markah D kepada Kerajaan Madani sempena dua tahun pemerintahannya beberapa hari lalu, ramai yang segera menyifatkan pemarkahan itu ia sebagai kononnya satu kegagalan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Lantaran itu tanpa segan silu serta melulu-lulu, bertalu-talulah kecaman dan perlecehan diteruskan untuk mengasak lagi Kerajaan Madani.
Amboi..lajunya Bersih membuat nilaian ‘ D’.. Adakah niat Bersih juga bersih dan adil kepada PMX sebagai peneraju Kerajaan Madani?.
Sabar dahulu, markah D yang diberi Bersih itu tidak akan menyebabkan Kerajaan Madani runtuh tiba-tiba.
Dengan izin Allah pastinya Kerajaan Madani akan tetap berdiri sehingga habis penggalnya.
PENILAIAN DUA TAHUN
Markah D hanyalah penilaian Bersih terhadap dua tahun pemerintahan Anwar yang sudah berlalu dan beliau ada masa tiga tahun lagi sebelum ketibaan PRU16 akan datang.
Mahu kata gagal atau apa sekali pun, penentuannya adalah PRU16 nanti, bukan sekarang.
Kalau kalah dan ditolak rakyat, barulah boleh dikata gagal.
Sebagaimana disebut Anwar – “takpelah Bersih bagi D, esok naiklah A”.
Maknanya, di sebalik markah D yang diberi Bersih, Anwar tetap bersikap positif lantaran sedar kerajaan masih ada banyak masa untuk memperbaiki diri.
Bahkan PMX ternampak yakin untuk mencapai markah A selepas ini.
Dua tahun awal pembentukan Kerajaan Madani dengan pelbagai masalah perlu dihadapi dan diselesaikan, memperolehi markah D bukanlah suatu yang memalukan.
Ia boleh dikira sebagai perkara biasa kalau dikira pelbagai kekalutan yang cuba dicetuskan oleh pembangkang dan akhirnya berjaya dihadapi dengan tenang oleh kerajaan.
Kerajaan Madani masih ada tempoh tiga tahun lagi untuk memperbaiki diri dan meningkatkan prestasi.
Yang penting, dalam tempoh dua tahun lalu dan tiga tahun mendatang, Anwar dan pasukannya dalam kerajaan tidak pernah duduk diam, malah sentiasa berusaha keras memajukan negara.
UBAH D JADI A
Dengan usaha bersungguh-sungguh Anwar sebagaimana ditunjukkan sekarang, mengubah D menjadi A bukan sesuatu yang mustahil.
Tiga tahun lagi, selain markah A diyakini mampu diperolehi, keyakinan rakyat kepada Kerajaan Madani dipercayai akan turut bertambah baik.
Ketika itu nanti, mungkin markah D menjadi milik pembangkang pula.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat