Sejak diperkenalkan tahun lalu oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pelaksanaan Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) merupakan inisiatif baharu Kerajaan MADANI yang bertujuan untuk merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat kampung dan komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian geran sehingga RM100 ribu kepada penerima yang layak.
Program ini merupakan inisiatif yang sangat penting dalam usaha untuk merubah sosio-ekonomi luar bandar dan menjana limpahan ekonomi yang mampan serta berterusan terutama peluang pekerjaan buat anak muda.
Mereka boleh saja memulakan projek berskala kecil dengan modal berkenaan dengan penyeliaan dan bantuan orang kampung seperti tanaman cili fertigasi, sayuran hidroponik malah menggunakan dron yang dibeli bagi meningkatkan kecekapan pengurusan ladang sawit.
Melalui pendekatan holistik, program ini dapat memberikan impak positif dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat luar bandar, termasuk peningkatan taraf hidup, peluang pekerjaan, serta pembangunan infrastruktur yang lebih baik.
Keberkesanan program ini dilihat daripada usaha untuk memperkasa sektor pertanian dan industri asas tani, yang merupakan teras ekonomi luar bandar sejak sekian lama dengan galakan dan bantuan kepakaran daripada agensi kerajaan berkaitan.
Dengan memberikan latihan kemahiran, teknologi moden dan bantuan kewangan kepada petani dan usahawan luar bandar, ia dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil pertanian sekaligus mengekalkan pertanian sebagai asas ekonomi utama.
Ini bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan komuniti kampung, tetapi juga menyumbang kepada kestabilan dan jaminan keselamatan bekalan makanan negara.
Menariknya, dalam Sejati MADANI juga, sektor pelancongan domestik dan pembuatan kraftangan etnik juga diberi perhatian dengan menggalakkan penghasilan produk tempatan ke pasaran yang lebih luas, sekaligus membuka peluang perniagaan dan pekerjaan.
Selain itu, program ini turut memfokuskan kepada pembangunan berorientasikan muafakat kampung atau rumah panjang bagi menjana pendapatan menerusi gotong-royong atau pertanian berkelompok yang diusahakan.
Penambah baikan penting seperti proses kelulusan, tadbir urus dan tatakelola dijangka akan dilaksanakan dalam proses permohonan mulai tahun depan.
Kita tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan terutama segelintir penjawat awam cuba memanipulasi bantuan yang disalurkan dengan cara yang tidak amanah dan SPRM juga wajar meneliti aduan rasmi berkaitan sebarang salah laku yang timbul daripada pelaksanaan program ini.
Kerajaan menerusi KKDW pastinya menekankan penyediaan infrastruktur asas seperti jalan raya yang memudahkan pergerakan barang dan produk hasil tempatan serta meningkatkan akses kepada perkhidmatan sokongan dan hiliran.
Dengan kemudahan yang lebih baik, kehidupan masyarakat luar bandar akan lebih selesa, sekaligus mengurangkan tekanan kepada anak muda untuk berhijrah ke bandar besar yang belum tentu menjanjikan ‘bulan dan bintang’.
Sedar atau tidak, salah satu aspek yang sangat penting dalam program ini adalah usaha untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan di luar bandar selain memperkasa TVET di luar bandar yang kini sedang giat dilaksanakan.
Dengan adanya sektor-sektor baru seperti teknologi digital seperti kecerdasan buatan (AI) dan industri kreatif yang diperkenalkan, golongan muda akan diberikan peluang untuk menceburi bidang ini tanpa perlu meninggalkan kampung halaman mereka.
Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan penghijrahan anak muda ke bandar besar, yang sering kali menyebabkan kehilangan bakat dan tenaga kerja berkemahiran di luar bandar.
Secara keseluruhannya, program Sejati Madani bukan sahaja memberi manfaat ekonomi, tetapi juga sosial dengan menggalakkan pembangunan yang lebih seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar, serta memastikan kemakmuran dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, layari laman sesawang https://sejatimadani.icu.gov.my atau emelkan sebarang kemusykilan di sekretariatMADANI@icu.gov.my kerana peluang ini terbuka kepada rakyat Malaysia.
(Zulimran Nasution Abdullah Omar)