Oleh: Sholina Osman
22 NOV. 2024
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Dr Fauziah Salleh “turun padang” bersama Pegawai Penguat Kuasa KPDN Sarawak bagi memperkasa inisiatif KITA GEMPUR di negeri ini.
Beliau berkata, pemerkasaan penguatkuasaan inisiatif KITA GEMPUR adalah langkah kerajaan untuk membina gerakan massa dalam menangani isu ketirisan barang kawalan.
“Inisiatif ini selaras dengan Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (GEMPUR) yang dilancarkan Perdana Menteri pada 19 Oktober 2024 di Kota Kinabalu, Sabah,” katanya dalam kenyataan media.
Fuziah berkata, Inisiatif KITA GEMPUR menyasarkan kepada kebersamaan pelbagai pemegang taruh meliputi agensi Kerajaan (K), pemain industri (I), pematuhan Tatakelola (T) dan partisipasi Awam (A).
MEMASTIKAN AKTIVITI PENGUATKUASAAN
Beliau menambah, pemeriksaan KITA GEMPUR ini dijalankan bagi memastikan aktiviti penguatkuasaan di bawah OPS TIRIS 3.0, Omnipresence dan aktiviti penguatkuasaan yang lain melibatkan aduan orang awam diambil tindakan segera.
Jelasnya, aktiviti ketirisan akan dapat ditangani dengan lebih cekap dan berkesan serta tindakan tegas diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan oleh KPDN.
“Pemeriksaan hari ini memfokuskan kepada bekalan barang kawalan dan barang keperluan melibatkan gula pasir putih bertapis 1kg, minyak masak paket 1kg dan telur ayam gred A, B dan C dalam kemasan papan sentiasa ada bagi memastikan bekalan barangan mudah diperoleh dan sampai kepada pengguna,” katanya.
HARGA YANG JELAS
Beliau berkata, kepentingan penandaan harga yang jelas dan penggunaan alat timbang yang ditentusahkan boleh mengelakkan kekeliruan dan penipuan terhadap pengguna.
Fuziah menegaskan, pelanggaran kedua-dua perkara tersebut boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972.
Beliau memberitahu, berdasarkan statistik penguatkuasaan di bawah OPS TIRIS 3.0 yang melibatkan ketirisan diesel dan lain-lain komoditi seperti petrol, LPG, minyak masak, gula pasir kasar dan tepung gandum yang bermula 1 Januari 2024 hingga 20 November 2024, sebanyak 38,965 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara dan sejumlah 2511 kes telah dihasilkan dengan jumlah nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM86.93 juta.
Manakala bagi pelaksanaan OPS TIRIS 3.0 di Negeri Sarawak katanya, telah mencatatkan 2,558 pemeriksaan.
Daripada jumlah tersebut tambahnya, 119 kes telah diambil tindakan yang melibatkan nilai rampasan sebanyak RM21.5 juta. – JM