Kereta api mewah E&O Express singgah di Perlis seminggu sekali mulai November 2024-Februari 2025

Oleh: Sholina Osman
22 NOV. 2024

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengadakan lawatan dan menaiki perkhidmatan kereta api mewah ‘Essesential Malaysia Journey’ iaitu Eastern & Oriental (E&O) Express di Stesen Keretapi Bukit Ketri.

Keberangkatan tiba Baginda yang diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengurus Besar Eastern & Oriental Express, Valentin Waldman, Duta Pengalaman Tetamu, Raja Nurul Badizza Raja Badrulzaman dan wakil Roots & Shoots Malaysia, Peter Ong.

Berangkat sama anakanda puteri Baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail.

MEWUJUDKAN SATU KERJASAMA

Sesi lawatan ini adalah bertujuan untuk mewujudkan satu kerjasama dalam bidang pelancongan ke arah mempromosikan Perlis sebagai sebuah destinasi pelancongan yang menawarkan alam semula jadi dan budaya yang unik selaras dengan Kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 yang sedang rancak berjalan sehingga penghujung tahun 2025.

Duli-Duli Tuanku turut dipersembahkan dan merasai pengalaman setiap segmen yang disediakan oleh keretapi api mewah ini khas buat para pelancong.

Para tetamu kereta api mewah ini mempunyai pilihan untuk membawa pulang pengalaman autentik seperti melukis batik di Batik Inderawasih.

Tetamu akan mempelajari sendiri proses melukis dan mewarna batik dan mendapat informasi secara langsung dengan pembuat batik professional di Kampung Ngulang itu.

MENYEDIAKAN HIDANGAN TEMPATAN

Tetamu juga akan merasai pengalaman memasak dan menyediakan hidangan tempatan seperti Roti Jala dan Roti Kaya di Rumah Kupi di Mata Ayer, sebuah kafe kampung dan menyelami tentang keunikan masakan Malaysia.

Para tetamu juga boleh membuat pilihan lain iaitu untuk menikmati keindahan alam semula jadi Banjaran Nakawan dengan berbasikal di sekitar Wang Kelian untuk mencari ikon Beruk Kentoi yang hanya terdapat di Perlis.

Mereka juga akan mengadakan lawatan ke Gua Kelam dan seterusnya menikmati makanan tempatan di Pekan Kaki Bukit.

Pengalaman-pengalaman istimewa ini pastinya menjadi ‘buah tangan’ para pelancong untuk kembali ke tempat asal masing-masing untuk dijadikan kenangan dan dikongsi kepada sahabat handai.

Di akhir kunjungan Baginda bergerak dengan keretapi mewah tersebut dari Stesen Bukit Keteri ke Stesen Keretapi DiRaja Arau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *