KPM perjelas isu kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan

Oleh: Sholina Osman
21 NOV. 202

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa program kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan dilaksanakan adalah berdasarkan panduan dan nasihat Kementerian Luar Negeri (KLN).

Kenyataan media KPM menyebut, pihak kementerian juga telah mendapat khidmat sokongan daripada Kementerian dan agensi lain yang berkaitan bagi tujuan tapisan keselamatan dan pemantauan berterusan sehingga program selesai.

“Kunjungan ini adalah suatu usaha untuk menyokong hala tuju pendekatan dasar luar Malaysia terhadap Afghanistan, yang mana Kerajaan Malaysia bersedia memberikan bantuan dari segi pembangunan kapasiti dalam bidang kesihatan dan kemanusiaan yang akan menyumbang kepada kemajuan sosial negara tersebut,” katanya.

KPM mengambil perhatian mengenai isu ini yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bagan nengenai kunjungan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan ke KPM pada awal bulan ini seperti yang dilaporkan oleh media.

SISTEM PENDIDIKAN NEGARA

Menerusi kunjungan ini, KPM telah melaksanakan pembentangan yang memberi gambaran menyeluruh sistem pendidikan negara termasuk berkenaan pendidikan untuk kanak-kanak perempuan dan wanita di Malaysia.

Ia memperlihatkan sistem pendidikan negara yang inklusif serta tumpuan kepada peningkatan akses dan ekuiti merentasi status sosial ekonomi, gender, etnik dan geografi.

Ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan 4: Pendidikan Berkualiti (Sustainable Development Goal – SDG 4) termasuk untuk menghapuskan kesenjangan jantina dan memastikan akses sama rata dan menyeluruh di semua peringkat pendidikan.

MODEL PENDIDIKAN TERBAIK

Selain itu, kunjungan ini turut memberi pendedahan kepada delegasi Afghanistan untuk melihat sendiri dan memahami model pendidikan terbaik di negara Islam moden yang disegani di peringkat antarabangsa.

Delegasi Afghanistan juga telah menyatakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai rujukan amalan terbaik dalam membangunkan dasar pendidikan di negara tersebut khususnya daripada aspek pembangunan kurikulum, latihan dan pembangunan guru serta teknologi pendidikan.

Komitmen KPM adalah selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun lalu yang bersedia meningkatkan kerjasama dengan Afghanistan.

Pada masa sama, hak pendidikan tidak boleh dinafikan.

Justeru, Malaysia komited dan mendukung penuh hak pendidikan kepada wanita serta akses pendidikan kepada kanak-kanak perempuan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *