Pemimpin masa depan perlu peka isu kelestarian – Zambry

Oleh: Sholina Osman
19 NOV. 2024

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri, Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa pemimpin masa hadapan perlu mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap isu kelestarian dan tanggungjawab alam sekitar.

Beliau berkata demikian dalam sesi dialog bersama lebih 500 pelajar dari pelbagai Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam dan Swasta sekitar Kuching sempena program ‘In Person With Doc Zam’ (IPWDZ) yang diadakan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

“Dunia yang kita tinggalkan nanti adalah untuk generasi anda. Jika kita tidak bertindak sekarang, masa depan kita akan terjejas,” katanya yang dipetik menerusi hantaran Facebook (FB) rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Oleh itu katanya, generasi muda perlu memahami dan mengamalkan konsep kelestarian dalam setiap tindakan

Dalam sesi dialog yang bertemakan “Pemimpin Masa Hadapan untuk Dunia yang Lestari”, beliau menyeru golongan pelajar untuk lebih aktif terlibat dalam proses pembentukan dasar negara.

Malah, beliau menekankan bahawa pelajar bukan sahaja perlu menjadi pemerhati tetapi juga pencetus perubahan demi masa depan yang lebih mampan.

“Pelajar hari ini bukan hanya sekadar menimba ilmu tetapi juga perlu menjadi penggerak kepada perubahan sosial dan ekonomi,” katanya.

Zambry berkata, mereka perlu memastikan keputusan yang dibuat berdasarkan fakta yang tepat dan data yang sahih.

Zambry turut berkongsi kisah perjalanan hidupnya sebagai anak nelayan dari Pulau Pangkor yang berdepan pelbagai cabaran untuk mencapai kejayaan dalam akademik dan kepimpinan.

Pesannya, kesusahan hidup tidak seharusnya dijadikan alasan untuk seseorang itu berputus asa, sebaliknya sebagai motivasi untuk terus berjaya.

“Saya membesar dalam keluarga yang serba kekurangan, namun itu tidak menghalang saya untuk mencapai cita-cita. Jangan jadikan latar belakang sebagai alasan tetapi sebagai pendorong untuk berjaya,” nasihat beliau kepada para pelajar yang hadir.

UNIMAS menjadi lokasi kelima dalam siri jelajah IPWDZ selepas kejayaan program di empat universiti lain di Semenanjung Malaysia dan dijangka akan diteruskan di beberapa universiti lain sebagai sebahagian daripada usaha KPT untuk mempersiapkan pelajar sebagai pemimpin masa hadapan yang berkaliber dan berdaya saing.

Hadir sama Naib Canselor UNIMAS, YBhg. Prof. Dr. Ahmad Hatta Rasid. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *