Oleh: Sholina Osman
19 NOV. 2024
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan untuk memulakan PJRM@Kampus awal tahun hadapan secara berperingkat.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, PJRM@Kampus ini akan mengikut kesesuaian jadual institusi pengajian tinggi (IPT) yang ingin terlibat.
“Saya telah memberikan mandat kepada Gerakan Pengguna Siswa (GPS) untuk mengemukakan cadangan mekanisme pelaksanaan PJRM@Kampus khususnya jenis barangan yang wajar ditawarkan yang bersesuaian dengan keperluan golongan sasar dalam kalangan mahasiswa,” katanya dalam kenyataan media.
Armizan berkata, selain kaedah-kaedah sedia ada, antara penambahbaikan yang telah digariskan adalah pelaksanaan kaedah baharu iaitu penganjuran PJRM@Kampus.
MEMPERLUASKAN KAWASAN SASAR
Beliau berkata, kaedah ini diputuskan dengan objektif untuk memperluaskan kumpulan sasar penerima manfaat kepada golongan mahasiswa yang memerlukan di IPT.
“KPDN juga akan terus memperkasa peranan GPS yang dianggotai kalangan mahasiswa IPT sebagai usaha meningkatkan advokasi kepenggunaan dalam masyarakat,” katanya.
Mengambil kira peranan penting golongan mahasiswa dalam masyarakat, katanya, KPDN turut menggariskan GPS sebagai salah satu rakan strategik dalam mengerakkan inisiatif Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (KITA GEMPUR).
“Ini kerana GPS berupaya menjadi wahana untuk menggerakkan partisipasi golongan mahasiswa dalam gerakan ini sekali gus memacu partisipasi awam yang merupakan salah satu komponen utama pelaksanaan melalui kerjasama strategi antara Kerajaan (K), Industri (I), Tatakelola (T) dan Awam (A),” katanya.
MEMPERKUKUHKAN PERANAN GPS
Pada masa yang sama tambah Armizan, KPDN juga akan memperkukuh peranan GPS sebagai salah satu pemegang taruh dalam menggerakkan salah satu kefungsian utama KPDN iaitu agenda menangani isu kos sara hidup.
“Bagi tahun 2024 bermula dari 1 Januari hingga 18 November 2024, sebanyak 9,786 program PJRM telah dilaksanakan di seluruh negara yang telah merekodkan seramai 9,306,217 pengunjung,” katanya.
Armizan berkata, daripada jumlah ini sebanyak 3,815 PJRM diadakan melalui kaedah secara dalam premis, 612 bagi luar premis dan 5,359 kali secara bergerak. – JM