Tealive jenama minuman pertama sahut Kempen Jom Kosong

Oleh: Sholina Osman
19 NOV. 2024

Tealive telah menjadi jenama minuman tempatan yang pertama menyahut Kempen Jom Kosong di negara ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr Fuziah Salleh telah menyempurnakan perasmian Kempen Jom Kosong di premis Tealive, Menara KPDN Putrajaya.

Beliau berkata, Kempen Jom Kosong ini merupakan inisiatif yang diwujudkan oleh KPDN bersama-sama pemain industri sektor makanan dan minuman bagi menyokong Kempen “Perangi Gula” yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 8 September 2024.

PENGAMBILAN GULA BERLEBIHAN

“Kempen yang diterajui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada rakyat untuk menjaga kesihatan daripada penyakit yang berpunca daripada pengambilan gula berlebihan yang menyumbang kepada peningkatan kes penyakit obesiti dalam kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan media.

Fuziah berkata, sejumlah 20 sen bagi setiap cawan minuman Tealive yang terjual di bawah Kempen Jom Kosong akan disumbangkan kepada Tabung Bantuan Makanan Sekolah Tealive yang seterusnya akan disalurkan ke Yayasan Didik Negara untuk menyediakan makanan sekolah percuma kepada pelajar kategori B40.

“Tealive turut menyasarkan untuk mengumpul RM3.5 juta dalam tempoh setahun bagi membiayai satu juta hidangan kepada pelajar-pelajar tersebut,” katanya.

Beliau berkata, usaha murni ini akan turut menggalakkan rakyat untuk mengurangkan pengambilan gula selain turut menyumbang kepada kebajikan kanak-kanak yang memerlukan.

INDUSTRI SEKTOR MAKANAN

Kempen Jom Kosong ini merupakan “Private Driven Initiatives” daripada pemain industri sektor makanan dan minuman tanpa melibatkan sebarang peruntukan insentif daripada Kerajaan.

“Pengusaha makanan digalakkan untuk menawarkan pengurangan harga bagi minuman tanpa gula sehingga 20 sen bagi tujuan menggalakkan pelanggan untuk memilih minuman tanpa gula,” katanya.

Dalam hal ini, KPDN turut menjalinkan kerjasama dengan pemain industri sektor makanan dan minuman dan peruncitan seperti Small And Medium Enterprises Association (SAMENTA), Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS), Persatuan Sahabat Tom Yam Prihatin Semalaysia, Malaysia Singapore Coffee Shop Proprietors’ General Association (MSCSPGA), Malaysia Retail Chain Association (MRCA), Malaysia Retailers Associaton (MRA) dan Federation of Malaysian Business Association (FMBA). – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *