Oleh Noraini Nordin
(Ulasan Berita)
18 Nov 2024
Tindakan pihak pembangkang memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan Israel baru-baru ini adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab, tidak wajar serta amat melampau.
Mereka jelas memutarbelit jawapan Anwar dalam wawancara dengan CNN itu dengan niat jahat untuk kepentingan politik semata-mata.
ANWAR TEGAS PERTAHANKAN RAKYAT PALESTIN
Adalah tidak masuk akal sebenarnya untuk menuduh Anwar sebagai pro Israel sedangkan hanya beberapa hari sebelum wawancara dengan CNN itu disiarkan, beliau dengan tegas mengajak negara-negara Islam agar bersatu menyingkirkan Israel daripada PBB.
Dalam wawancara dengan CNN itu, apa yang nyata, Anwar dengan tegas mempertahankan rakyat Palestin, sekali gus mengecam Israel dan sekutu Baratnya yang membenarkan pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Zionis sejak 7 Oktober 2023.
Anwar menegaskan, pendirian moralnya tidak menyokong keganasan dalam apa jua bentuk, termasuk sebarang pembunuhan terhadap mana-mana pemimpin politik dan menyatakan kita harus mengambil pendirian moral tinggi serta konsisten dalam hal ini.
Tetapi yang dipetik dan dijadikan isu ialah jawapan Anwar berkaitan kewujudan negara Israel itu, sedangkan apa yang beliau nyatakan adalah berdasarkan fakta dan bersalahan apa-apa pun.
Penjelasan Anwar kemudiannya berhubung wawancara berkenaan tidaklah sukar untuk difahami.
“Kalau orang tanya, apakah wujudnya Israel? Ia wujud. Tapi, Malaysia tidak iktiraf, maknanya, kita tidak hantar pegawai kedutaan, tidak ada hubungan diplomatik. Itu maksudnya.
“Politik apa macam ni? Memperbodoh rakyat, menipu, memfitnah atas nama Islam. Ini yang disebut penunggang-penunggang agama, yang tak reti nak ulas,” kata beliau.
Anwar menegaskan Malaysia tetap tidak mengiktiraf Israel secara ‘de jure’, meskipun keberadaan negara itu di peringkat antarabangsa adalah fakta yang tidak boleh dinafikan.
Lagi pun, sebagaimana disebut oleh Menteri Dalam Negeri, Datok Seri Saifuddin Nasution Ismail, perjuangan Anwar bersama rakyat Palestin bukan perkara baru, malah sudah diketahui dunia.
Oleh itu katanya, adalah tidak masuk akal untuk menuduh seorang pemimpin negara Islam seperti Anwar mengambil pendirian menyokong Israel.
“Takkanlah (mereka) tak boleh buat penilaian langsung bab itu. (Mereka buat ini) hanya untuk dapat keuntungan politik, hendak tempek wajah ‘hodoh’ – Anwar Ibrahim equal to Israel…
“Maka (mereka hendak mengajak) mai lah orang Melayu Islam jangan sokong (Anwar). (Tujuan mereka) macam itu. (Perbuatan ini) hanya untuk memancing sokongan, itu yang saya kesalkan,” katanya lagi.
Maksudnya, pembangkang ini sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkan keuntungan politik tanpa memikirkan dosa dan pahala daripada perbuatan mereka itu.
Untuk itu, tiada pilihan melainkan rakyat Malaysia harus menolak sepenuhnya gaya politik pembangkang ini kerana mereka tidak memikirkan fakta dan kebenaran, sebaliknya hanya mahu menang pilihan raya dengan apa cara sekali pun.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat