Oleh: Sholina Osman
19 NOV. 2024
Pembangunan Bandar Teknologi Maju Perlis di Chuping bakal menyediakan kira-kira 2,000 peluang pekerjaan yang dijadual bermula tahun hadapan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, projek yang menelan perbelajaan mencecah US$11 bilion (RM49.17 bilion) itu dijangka mula beroperasi secara berperingkat pada pertengahan 2027.
Beliau berkata, pembangunan projek ini meliputi prasarana bagi memuatkan hingga 1.25 Gigawatt pusat data AI yang bersifat ‘off-grid’ atau tidak bersandarkan kepada rangkaian tenaga sedia ada.
“Jadi mereka akan memanfaatkan sumber tenaga sama ada solar, bateri simpanan ataupun turbin gas yang berupaya memungkinkan pusat data 1.25GW ini beroperasi dengan baik,” katanya pada sidang media.
MELIBATKAN USAHA SAMA
Fahmi mengiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan berangkat menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Utama, Pembangunan Bandar Teknologi Maju Perlis melibatkan usaha sama Sirage Capital Sdn Bhd dan Skyvast Sdn Bhd di Kuala Lumpur.
Fahmi berkata, Chuping dipilih memandangkan lokasinya menerima pancaran matahari tertinggi di Malaysia, selain disokong bentuk muka bumi bersesuaian untuk pembangunan Bandar Teknologi Maju Perlis.
Beliau berkata, Kementerian Komunikasi yakin pembangunan berkenaan akan membantu transformasi ekonomi digital negara, terutamanya di Perlis.
Sekaligus katanya, projek itu juga akan memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara menerusi jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) atau mana-mana institusi berkaitan TVET.
MEMANFAATKAN TEKNOLOGI AI
“Anak-anak muda kita akan dapat kemahiran, untuk bantu pengoperasian bandar teknologi ini selain mahir dan memanfaatkan teknologi Al (kecerdasan buatan),” katanya.
Fahmi berkata Kementerian Komunikasi yakin pembangunan berkenaan akan membantu transformasi ekonomi digital negara terutamanya di Perlis.
“Ini game-changer (pengubah keadaan), satu projek yang bakal mengangkat Perlis di peta dunia berkaitan pusat data Al, jadi kementerian akan beri dukungan, termasuk bincang beberapa aspek seperti kabel dasar laut bagi memudahkan pembinaan pusat data di Perlis ini,” katanya. – JM