Oleh: Sholina Osman
17 NOV.2024
Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) Jitra, Kedah muncul sebagai Naib Johan dalam Pertandingan Data Hackathon POLYCC 2024.
Pasukan dari POLIMAS ini diwakili oleh tiga peserta iaitu Muhammad Afifi Mohd Nor Hisham, Putra Ammar Mohd Ridzuan dan Ahmad Faiz Helmy Ahmad Sakri dari jurusan Diploma Teknologi Maklumat.
Pasukan ini dibimbing oleh pensyarah pembimbing, Siti Nur Thazliah Mohd Thazali.
Salah seorang peserta, Muhammad Afifi berkata, sekalipun hanya layak sebagai naib johan tetapi berkongsi pengalaman bertanding dalam pertandingan ini adalah sangat bermakna.
TEKNIK ANALISIS DATA
Beliau akui selain berpeluang mempelajari teknik analisis data yang lebih mendalam, beliau dan rakan juga mendapat pengalaman berharga apabila bekerjasama dalam pasukan yang berbeza, yang sangat penting dalam dunia pekerjaan sebenar.
“Insyaalllah kami akan mencuba lagi menjadi johan pada tahun hadapan,” ujarnya lagi.
Pensyarah pembimbing pasukan, Siti Nur Thazliah berkata, beliau amat berbangga dengan pencapaian ini kerana ia menunjukkan betapa pentingnya pembelajaran dalam bidang sains data dan pembelajaran mesin.
YANG LEBIH MENCABAR
“Pertandingan seperti ini memberi peluang kepada pelajar untuk menambah ilmu serta mempraktikkan apa yang dipelajari dalam suasana yang lebih mencabar dan kompetitif,” kata beliau.
Pengarah POLIMAS, Rosli Idris menzahirkan ucapan tahniah kepada pelajar yang telah mengharumkan nama POLIMAS.
Beliau juga menekankan kepentingan mempelajari bidang teknologi terkini, terutamanya sains data, data besar, dan pembelajaran mesin yang kini menjadi antara kemahiran utama yang dicari oleh industri.
UNTUK LEBIH KREATIF
“Program seperti ini bukan sahaja menggalakkan para pelajar untuk lebih kreatif dan inovatif, tetapi juga membantu mereka untuk lebih bersedia dalam menghadapi cabaran dalam dunia pekerjaan yang semakin memerlukan kepakaran dalam pengurusan dan analisis data,” ujarnya sebagai mengulas kejayaan ini.
Sebanyak 87 pasukan dari Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh Malaysia telah menyertai Pertandingan Data Hackathon POLYCC 2024, yang dianjurkan oleh Politeknik Kuala Terengganu (PKT) dengan kerjasama Bahagian Perancangan Program dan Institusi (BPPI), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Pertandingan ini bertujuan untuk memperkenalkan dan mempromosikan kepentingan Analisis Sains Data, Data Besar dan Pembelajaran Mesin kepada para pelajar, serta memberi mereka peluang untuk mengasah kemahiran praktikal dalam bidang teknologi yang semakin berkembang pesat.
Pertandingan ini memberikan para peserta cabaran untuk menggunakan pelbagai teknik analisis data dan pembelajaran mesin dalam menyelesaikan masalah dunia nyata yang diberikan.
MEMBINA MODEL RAMALAN
Para peserta diminta untuk membina model ramalan atau penyelesaian terbaik dengan menggunakan data besar yang disediakan.
Selain cabaran teknikal, pertandingan ini juga memberi peluang kepada peserta untuk berkolaborasi dalam pasukan, serta berinteraksi dengan rakan-rakan dari pelbagai Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh Malaysia.
Ini adalah satu peluang berharga untuk memperluas jaringan profesional serta berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan peserta lain.
Sebagai Naib Johan, pasukan dari POLIMAS telah membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500.
Hadiah kemenangan tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Bahagian Perancangan Program dan Institusi (BPPI), JPPKK, A. Azman Arshad dalam Majlis Perasmian Penutup Program Data Hackathon POLYCC 2024 di Politeknik Kuala Terengganu, Terengganu. – JM