Imigresen berkas dua warga Pakistan “dalang utama” sindiket pemalsuan dokumen

Oleh: Sholina Osman
17 NOV. 2024

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah memberkas dua lelaki warganegara Pakistan yang dipercayai sebagai ‘dalang utama’ satu sindiket pemalsuan dokumen.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kedua lelaki yang berusia 27 dan 37 tahun itu telah diberkas dalam Operasi Khas pada 14 November 2024 di tiga lokasi sekitar Setapak Jaya, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, operasi yang bermula pada pukul 11.51 pagi itu melibatkan sepasukan pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan selama tiga minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan telah menahan dua buah kenderaan yang mencurigakan,” katanya dalam kenyataan media.

PASUKAN OPERASI BERJAYA

Zakaria berkata, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut, pasukan operasi berjaya menahan dua lelaki yang dipercayai sebagai ‘dalang utama’.

Turut ditahan enam lelaki warganegara Pakistan dan seorang lelaki warganegara India yang berada di dalam kenderaan berusia di antara 21 hingga 55 tahun.

Jumlah keseluruhan yang ditahan adalah seramai 9 orang.

Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap dua ‘dalang utama’, pasukan operasi bergerak ke lokasi premis kediaman dan telah merampas 161 naskhah pasport pelbagai negara terdiri daripada 74 naskhah pasport Bangladesh, 33 naskhah pasport Pakistan, 26 naskhah pasport India, 19 naskhah pasport Indonesia, enam naskhah pasport Myanmar, senaskhah pasport Filipina, senaskhah pasport Iraq, senaskhah pasport Thailand dan satu set komputer riba.

DUA BUAH KENDERAAN

Turut disita katanya, dua buah kenderaan iaitu sebuah kenderaan jenis Toyota Innova dan sebuah kenderaan jenis Proton Exora.

Hasil semakan awal pihaknya mendapati seorang lelaki warganegara Pakistan yang merupakan ‘dalang utama’ memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sah laku manakala warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini.

Zakaria menambah, modus operandi sindiket adalah menawarkan perkhidmatan menyediakan pasport kepada warganegara asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan.

“Sindiket ini menggunakan pasport tulen milik individu lain atau telah tamat tempoh dengan meminda maklumat pada biodata bagi kemudahan warganegara asing memohon pemeriksaan kesihatan FOMEMA,” katanya.

MEMBAWA WARGA ASING

Sindiket ini juga katanya, akan membawa warganegara asing yang telah dibekalkan pasport yang telah diubah suai ke klinik bagi tujuan pemeriksaan kesihatan.

“Malah sindiket ini juga mengenakan bayaran sebanyak RM200 bagi setiap urusan yang dipercayai telah beroperasi selama enam bulan,” katanya.

Berikutan itu, katanya, seorang lelaki warganegara Pakistan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.12(1)(a) Akta Pasport 1966 dan Sek.6(3) Akta Imigresen 1959/63 manakala seorang lagi warganegara Pakistan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.12(1)(a) Akta Pasport 1966 dan Sek.56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.

DEPOT IMIGRESEN SEMENYIH

Tujuh lelaki warganegara asing lain ditahan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.6(3) Akta Imigresen 1959/63.

Dua lelaki yang merupakan ‘dalang utama’ diserahkan pada Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Di samping itu katanya, seramai seorang lelaki pemegang Kad UNHCR dan dua perempuan warganegara tempatan diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *