Oleh: Sholina Osman
13 NOV. 2024
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil serius terhadap kes buli di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) termasuk di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Kenyataan media KPT memaklumkan ini berikutan terbaharu, dilaporkan seorang penuntut tahun satu ALK, UPNM disyaki cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior dalam kejadian pada 21 Oktober 2024.
Kejadian ini dikatakan hanya berlaku sehari sebelum kejadian membabitkan seorang pelajar ditekap menggunakan seterika pada bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.
“KPT menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan memberi kerjasama penuh untuk tindakan lanjut,” kata kenyataan media lagi.
RAWATAN DAN KEBAJIKAN
Dalam masa sama, rawatan dan kebajikan pelajar yang cedera itu juga akan terus diberikan sebaiknya.
Bagi memastikan keselamatan pelajar di kampus terjamin dan insiden tidak berulang, KPT akan mengadakan perbincangan komprehensif bersama MINDEF termasuk mengkaji semula dasar sedia ada untuk memperbaiki sistem disiplin dan prosedur bagi menangani salah laku buli dengan lebih cekap.
Selain itu, kerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan akan dijalankan jika terdapat sebarang pelanggaran serius yang melibatkan undang-undang negara.
MATA DAN TELINGA
Dalam masa sama, KPT turut berharap agar warga IPT sendiri menjadi ‘mata dan telinga’ dengan berani untuk tampil melaporkan kepada pihak berkaitan sekiranya terdapat kes salah laku sebegini.
Kejadian salah laku buli ini sedikit sebanyak memberi imej tidak baik kepada IPT yang menjadi institusi untuk pembentukan ‘otak dan watak’ iaitu mempunyai tahap pemikiran dan keperibadian yang seimbang dan baik.
KPT ingin memberi amaran tegas kepada semua warga IPT untuk tidak melindungi atau terlibat dengan isu buli sebegini.
Kementerian tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati bersalah. – JM