Oleh: Sholina Osman
11 NOV. 2024
MAHA 2024 mencatat kejayaan gemilang dengan menghimpunkan lebih 5.5 juta pengunjung, jauh melebihi sasaran awal sebanyak 3 juta.
Berikutan itu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menganjurkan Majlis Apreasiasi sebagai penghargaan buat semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan pameran ini.
Berdasarkan hantaran pada Facebook (FB) KPKM, Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu pada majlis berkenaan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang menyumbang kepada kejayaan luar biasa ini.
“Jika bukan kerana kerja keras semua, MAHA 2024 tidak akan dapat mencapai tahap kejayaan seperti yang kita lihat hari itu,” ujarnya dalam ucapan beliau.
SEKTOR AGROMAKANAN NEGARA
Beliau turut memuji semangat yang ditunjukkan oleh para peserta yang bukan sahaja komited dalam menjaga sektor agromakanan negara, tetapi juga aktif mempromosikan MAHA 2024 di media sosial.
Sokongan rakan strategik dan penaja memainkan peranan penting dalam mewujudkan kerjasama kukuh antara sektor awam dan swasta.
Dengan sokongan kewangan, teknologi, dan ilmu dari sektor swasta, daya saing sektor pertanian kita semakin meningkat,” tambah beliau.
Tahun ini, MAHA mencatat jualan langsung bernilai RM48.55 juta, jauh melebihi sasaran awal, serta menandatangani 81 Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM7.2 bilion, menjadikan MAHA sebagai platform perdagangan terkemuka di rantau ini.
LAWATAN DELEGASI ASEAN
Dalam kejayaan lain, Pavilion MAHA di MAEPS kini dikenalpasti sebagai lokasi pilihan untuk lawatan delegasi ASEAN pada tahun depan, satu pengiktirafan besar untuk sektor agromakanan Malaysia.
Penghargaan turut diberikan kepada penganjuran Mesyuarat Pegawai Kanan Khas bagi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN ke-45 (Special SOM-45th AMAF) yang telah berlangsung di Johor Bahru pada 6 Ogos lalu, yang berjaya memperkukuhkan kerjasama serantau dalam bidang pertanian dan perhutanan.
Tidak ketinggalan, penghargaan turut diberikan kepada semua yang menjayakan Program Jualan Agro MADANI (JAM) KPKM sepanjang tahun ini yang memberi manfaat besar kepada rakyat.
Lebih 6,800 program dijalankan dengan penyertaan lebih 86,000 usahawan, menghasilkan jualan sebanyak RM153 juta dan memberi penjimatan kepada berjuta isi rumah.
Keseluruhan pencapaian ini adalah hasil usaha gigih semua pihak yang terlibat dalam penganjuran MAHA 2024 dan program kementerian yang lain.
“Terima kasih kepada semua, daripada petani, nelayan, usahawan, penganjur, hingga rakan strategik. Semoga semua usaha kita diberkati Allah SWT dan sektor pertanian negara terus maju,” katanya mengakhiri ucapannya. – JM